19
Rab, Dis

Sarawak Berjaya Kutip Satu Mata Di Stadium Likas

Sarawak
Typography

KUCHING - Kemelut yang melanda bola sepak Sarawak baru-baru ini tidak menjejaskan semangat pasukan Sarawak apabila berjaya mengikat jiran Sabah 1-1 dan membawa satu mata berharga dalam 100Plus Liga Premier Malaysia 2018 di Stadium Likas, malam ini.

Sarawak yang menurunkan kesebelasan utama yang sedikit berbeza ketika bertemu Felcra FC tempoh hari dengan menurunkan penjaga gol Firdaus di benteng terakhir di samping beberapa pemain Sarawak yang lain berjaya mendahului separuh masa pertama menerusi jaringan Mateo Roskam pada minit ke 19.

Pergerakan menarik dan taktik yang menjadi membolehkan Sarawak menguasai permainan pada separuh masa pertama biarpun bermain di gelanggang lawan.

Kedudukan 0-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki separuh masa kedua, Sabah yang menukar strategi untuk mencari gol penyamaan akhirnya berjaya menemui jaringan menerusi Hector Ramos pada minit ke 54.

Selepas gol penyamaan itu, Sabah terus menggandakan asakan bagi menambah gol dan hampir memperolehi gol kemenangan.

Sepakan penalti yang diberikan pengadil yang mengadili perlawanan pada malam ini susulan daripada kekasaran yang berlaku di dalam kotak penalti Sarawak pada masa kecederaan minit ke 94, tetapi gagal menghasilkan gol.

Kegagalan pemain Sabah menjaringkan gol menerusi sepakan penalti selepas tendangannya terkena palang gol membolehkan kedua-dua pasukan memperoleh satu mata dalam perlawanan malam ini.

Kedudukan semasa ketika ini Sabah berjaya menghasilkan lapan mata dengan mengekalkan rekod tanpa kalah apabila mencatat dua menang dan dua seri manakala Sarawak kini menduduki tempat ke tujuh dengan lima mata selepas mencatat satu menang dan kalah, dan dua seri.

 

Selepas ini, Sarawak akan bertemu dengan pasukan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) di Stadium Negeri, Petra Jaya pada 9 Mac akan datang.