23
Sel, Okt

Manifesto PH 'Book of Hope' Hanya Sandiwara Politik Untuk Raih Undi

Sarawak
Typography

KUCHING - Manifesto Pakatan Harapan (PH) yang dilancarkan baru-baru ini dengan antara lainnya mahu mengembalikan hak-hak Sarawak dalam tempoh 100 hari jika berjaya mengambil alih pemerintahan kerajaan Persekutuan adalah sekadar sandiwara politik bagi meraih undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). 

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat) Abdullah Saidol berkata, cadangan itu sekadar sandiwara kerana Perdana Menteri cadangan PH itu telah membuktikan pengabaian terhadap Sarawak ketika memegang tampuk pemerintahan suatu ketika dahulu selama 22 tahun.

"Ketika ini kerajaan negeri Sarawak ditadbir Barisan Nasional (BN) yang diketuai Ketua Menteri Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Openg untuk tempoh tiga tahun lagi sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN) 2021. 

"Persoalannya sekarang, apakah kerajaan Pakatan Harapan nanti benar-benar jujur dan bersungguh-sungguh untuk memenuhi permintaan sebuah kerajaan negeri yang ditadbir BN?,” ujarnya ketika diminta mengulas mengenai manifesto Pakatan Harapan di sini, semalam.

Abdullah turut berkata lagi, janji PH untuk menurunkan semula semua kuasa kepada Sarawak merupakan sesuatu yang mengarut. 

"Jika PH mengambil alih kerajaan Persekutuan, mereka mungkin akan mengukuhkan lagi genggaman ke atas sebarang manfaat atau kelebihan ekonomi dari Sarawak yang merupakan negeri yang masih kaya dengan pelbagai sumber semula jadi dan potensinya,” katanya. 

Lebih terserlah kebohongan PH, buku manifesto 'Book of Hope' yang menampilkan enam pemimpin gambar mereka, tetapi tiada seorang pun dari Sarawak.

"Sebaliknya, gambar paling menonjol ialah tiga bekas pemimpin UMNO yang gagal dan memperdulikan rakyat Sarawak selama bertahun-tahun ketika mereka masih dalam pemerintahan Persekutuan dahulu," tegasnya.

Menyentuh mengenai janji-janji di Selangor dan Pulau Pinang yang ditadbir Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP), kedua-duanya gagal memenuhi janji sebaliknya janji hanya untuk menipu rakyat di sepanjang pemerintahan mereka selama dua penggal ini.

Di Selangor, PKR menjanjikan bekalan air percuma tetapi permasalahan hari ini masih berkisar tentang bekalan air. 

Manakala, di Pulau Pinang DAP yang menjanjikan kecekapan, akauntabiliti dan ketelusan (CAT) dalam mengurus kerajaan negeri Pulau Pinang selain berjanji mengurangkan pelbagai tarif, namun semua realitinya adalah bertentangan. 

Di Sarawak, pembangkang kerap menonjolkan isu-isu perkauman sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat.

Tatkala, pembangkang di Sarawak hanya bermain isu perkauman dan mengkritik segala apa yang dibawa kerajaan kepada rakyat, kerajaan BN di bawah pimpinan Abang Zohari berusaha keras melaksanakan semua perkara baik untuk rakyat. 

Malah, hubungan kerajaan negeri Sarawak dan kerajaan Persekutuan amat rapat dan menjalinkan kerjasama dalam membangunkan negeri demi manfaat rakyat.

"Mendapatkan apa yang dikehendaki daripada kerajaan Persekutuan hanya dapat direalisasikan jika pemimpin negeri saling memahami dan pemimpin persekutuan menjaga baik kebajikan dan pembangunan rakyat Sarawak. 

"Hubungan mesra antara satu sama lain hanya wujud jika kita berasal dari parti politik yang sama," katanya.