19
Rab, Dis

Tanjung Manis Akan Terus Membangun - Len Talif

Sarawak
Typography

TANJUNG MANIS - Kawasan Tanjung Manis di sini akan terus membangun pesat di masa akan datang.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pembangunan Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang Datu Len Talif Salleh berkata, kawasan tersebut juga akan dilengkapi dengan semua kemudahan berkaitan sektor perindustrian, akuakultur dan pertanian moden. 

"Tanjung Manis yang kita lihat kini adalah hasil perancangan rapi bermula pada tahun 1981 yang mengambil semua aspek dan berasaskan industri perkayuan.

"Kini pembangunan Tanjung Manis telah berkembang baik dan pesat meliputi pelbagai aspek termasuk perumahan, industri minyak, akuakultur dan industri berasaskan 'Halal Hub'," katanya dalam ucapan semasa Sambutan Hari Tanjung Manis 2018 di sini, Ahad lepas.

Ujarnya lagi, pembangunan Tanjung Manis telah dimulakan lebih 30 tahun dahulu dan apabila kawasan ini dimasukkan ke dalam SCORE maka semakin banyak perubahan dan prasarana yang diwujudkan seperti jalan raya, elektrik, air, rumah-rumah kedai, balai Polis dan yang terbaru balai Bomba.

Sambutan Hari Tanjung Manis merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) dan bersempena dengan sambutan ulang tahun 45 Tahun PUSAKA. 

Turut sama hadir pada perasmian Tuan Haji Hashim Haji Bojet, Timbalan Pengurus Besar PUSAKA, Abdul Halim bin Abdullah, Residen Bahagian Mukah dan Udin bin Bujang Pegawai Daerah Tanjung Manis. 

Pelbagai acara telah dijalankan seperti sukaneka rakyat, pertandingan memancing, pertandingan karaoke dan perarakan 9 kontijen peserta sukan rakyat. -KLXpress/Razali Jidi-