23
Sel, Okt

Sarawak Sentiasa Bersiap Sedia Hadapi Pilihan Raya 

Sarawak
Typography

KUCHING - Dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke 14 akan datang, Barisan Nasional (BN) Sarawak sentiasa bersiap sedia bersama jentera-jenteranya menghadapi sebarang kemungkinan yang tiba.

Justeru, pengalaman negeri ini yang menghadapi beberapa pilihan raya dalam tempoh yang kerap sebelum ini menjadikan BN Sarawak sentiasa dan lebih bersedia untuk menghadapi PRU14 nanti berbanding negeri-negeri lain di negara ini.

Menurut Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri yang juga Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdullah Saidol berkata, rakyat Sarawak telah menghadapi proses pilihan raya secara berterusan dimulai dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian pada 29 Mac 2014, disusuli dengan Pilihan Raya Negeri Ke 11 (PRU 11) pada Mei 2016 dan yang terakhir adalah PRK DUN Tanjong Datu pada Februari tahun lalu di mana PRK tersebut diadakan selepas penyandangnya iaitu Pehin Sri Adenan Satem atau Tok Nan yang juga Ketua Menteri Sarawak ke 5 meninggal dunia pada Januari 2017.

"Dengan kerap menghadapi beberapa pilihan raya sebelum ini, keadaan itu membuatkan jentera BN sentiasa bekerja dan sudah memahami keperluan untuk menghadapi PRU 14.

"Sarawak merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang menghadapi pilihan raya paling kerap iaitu selang dua tahun sekali.

"Keadaan ini, membuatkan Sarawak paling bersedia untuk menghadapi PRU-14 kerana semua data tentang pengundian masih lagi baharu, manakala jentera parti masih lagi panas (semangat) untuk digerakkan," katanya dalam ucapan semasa hadir di Majlis Tautan Mesra Bersama Media 2018 anjuran Jabatan Penerangan Sarawak di sebuah restoran di sini semalam.

Turut hadir, Pengarah Penerangan Sarawak, Abang Sardon Abang Hashim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut, Dr. Hazland bin Abang Hipni dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sarawak Hassan Busu.  

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai persiapan menghadapi PRU 14 akan datang, beliau menyatakan pada pilihan raya kali ini, kesemua 72 ADUN BN akan turun padang bagi membantu calon-calon BN yang akan bertanding di kesemua 31 kerusi Parlimen bagi memastikan kemenangan mereka.

Tambahnya lagi, menjelang PRU 14 nanti, perkara paling penting yang harus dilakukan BN ialah menangani isu nasional yang relevan dengan rakyat negeri ini.

“Kami memang sudah bersedia dan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kami akan membantu calon yang bertanding terutama memperbetulkan fakta-fakta yang diputarbelitkan oleh pembangkang.

"Dalam hal ini, kerjasama dengan pihak media amat diperlukan kerana laporan media akan mencerminkan personaliti seorang ahli politik kepada rakyat sama ada wakil rakyat BN atau parti pembangkang.

"Sebagai pengamal media, anda mempunyai kebebasan untuk menulis tetapi mestilah berpandukan kepada fakta benar dan bertanggungjawab," ujarnya.

Justeru itu, selaku wakil yang mewakili BN Sarawak amat menyokong usaha kerajaan pusat mahu membawa cadangan meminda undang-undang untuk menangani penyebaran berita palsu di media sosial pada mesyuarat Kabinet nanti demi kebaikan bersama.

 

BN juga akan melengkapkan logistik untuk memerangi apa juga berita berunsur putar belit oleh parti pembangkang dalam PRU14 kelak.