26
Rab, Sep

Malaysia Bertuah Punyai Pemimpin Yang Berjaya Mengurus Negara 

Sarawak
Typography

KUCHING – Malaysia bertuah mempunyai pemimpin yang mentadbir dan mengurus negara dengan baik mengambil kira kehendak masyarakat yang berbilang kaum, bangsa dan agama.

Menurut Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Openg, dengan keamanan yang dikecapi sekarang maka para pemimpin negara dapat menguruskan ekonomi dengan baik dengan penempatan bertambah dan segala pulangan pendapatan dapat diberi balik kepada rakyat untuk menguruskan kerja-kerja mereka.

“Inilah nikmat yang Allah beri kepada kita yang mana kita sering terlupa dengan nikmat Allah dengan terlalu mengikut emosi yang boleh mengamcam perpaduan negara.

“Kita di Malaysia mengambil kira kebajikan masyarakat kita lebih-lebih  lagi negeri Sarawak yang mana seluruh masyarakat yakin kepada pimpinan orang Islam untuk mentadbir negeri Sarawak disebabkan keadilan dalam mentadbir negeri ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Sarawak di Dewan Majma Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah yang dihadiri lebih 1,000 murabbi ummah yang terdiri daripada imam, bilal, siak, guru kafa dan guru takmir semalam.

Abang Zohari turut menegaskan agar masyarakat mengutamakan perpaduan ummah dengan tidak terlalu mengikut emosi dalam tindakan sehingga mengakibatkan perpecahan perpaduan.

“Sarawak merupakan contoh terbaik yang diterajui Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada peralihan kuasa pemimpin yang berjalan lancar disebabkan persefahaman antara ahli-ahli beragama Islam dan bukan Islam dalam satu pasukan,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu beliau turut menyifatkan konsep kepimpinan berkait rapat dengan rukun solat berjemaah antara imam dan makmum di mana imam adalah pemimpin dan makmum di belakang hendaklan merapatkan saf untuk mengikut imam tanpa ada pergaduhan sesama sendiri.

“Konsep kepimpinan inilah yang Islam ajar untuk menjadi pemimpin negara di mana kita ikut pemimpin tetapi jika pemimpin melakukan kesilapan, kita tegur dengan cara yang berhemah kerana kita manusia dilahirkan tidak sempurna,” ujar beliau.

“Begitu juga negara kita, imam kita Yang di-Pertuan Agong, ketua pentadbir Datuk Seri Mohd Najib yang sedaya upaya mengurus negara dengan baik untuk menjadikan negara kita aman damai. Jangan terlalu mengikut emosi kerana sifat ini akan membawa perpecahan kaum di negara kita,” tegasnya.

Pada majlis berkenaan juga, Abang Zohari menyambut baik penyaluran peruntukan daripada kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri dan menerima peruntukan tahunan kerajaan persekutuan dan bayaran khas ‘One-Off’ kepada imam, bilal, marbot, guru takmir dan guru KAFA bagi negeri Sarawak yang berjumlah RM46.654 juta daripada kerjaan Persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). 

Program Multaqa Murabbi Ummah merupakan kerjasama antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dan Majlis Islam Sarawak (MIS).