26
Rab, Sep

Malaysia Amal Prinsip Maqasid Syariah Kekalkan Keharmonian Dan Perpaduan Kaum

Sarawak
Typography

KUCHING - Kerajaan mengamalkan prinsip maqasid syariah dalam memastikan negara dapat mengekalkan keharmonian serta perpaduan antara masyarakat di dalam negara.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, prinsip maqasid syariah telah dilaksanakan di negara ini berlandaskan lima prinsip utama iaitu menjaga agama, nyawa, akal, maruah keturunan dan harta benda.

“Negara kita  berlandaskan lima prinsip utama dalam memastikan negara dapat mengekalkan keharmonian serta perpaduan antara masyarakat di dalam negara dan  prinsip ta'ayush atau 'coexistence’ (kewujudan bersama) dijelaskan apabila membicarakan tentang kehidupan masyarakat majmuk negara ini.

“Sarawak menjadi contoh terbaik dalam menjelaskan konsep tersebut yakni keharmonian dalam kepelbagaian masyarakat,” katanya dalam ucapan program Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Sarawak menghimpunkan 1,000 peserta di sini, semalam.

Beliau mengambil contoh institusi rumah ibadat di Sarawak iaitu sebuah gereja bersebelahan masjid yang terletak di Lutong, Miri di mana kedua-dua institusi itu berbeza tetapi tidak saling bertembung, bersaing malahan saling membantu di mana pada hari Jumaat kawasan parkir gereja dibuka untuk kemudahan jemaah masjid begitu juga pada hari Ahad parkir masjid dibuka untuk kemudahan mereka yang datang ke gereja.

"Inilah contoh 'coexistence’ (kewujudan bersama) yang dipamerkan, betapa kekuatan, kesepaduan serta semangat dipamerkan akan membantu pertumbuhan ekonomi, sosial serta politik negara kita," katanya.

Dalam pada itu, Jamil juga menyatakan kelompok Murabbi Ummah seperti imam, bilal, siak, guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA)  dan takmir memainkan peranan penting yang berinteraksi secara langsung dan berterusan di dalam masyarakat bagi membentuk  generasi yang dibekalkan dengan ilmu yang bermanfaat.

Peruntukkan berjumlah RM46.6 juta termasuk pemberian khas 'one off' berjumlah RM6.2 juta akan diberikan kepada imam, bilal, siak, guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA)  dan takmir di Sarawak pada tahun ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pemberian tersebut merupakan peruntukan yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri ketika pembentangan Bajet 2018 yang lepas.

Jamil juga menyatakan peruntukan imbuhan dan elaun 2018 berjumlah RM40.4 juta melibatkan 744 imam (RM7.5 juta), 355 guru takmir (RM3.4 juta) dan 2,412 guru kafa (RM29.4 juta) di Sarawak.