21
Kha, Jun

Lo Khere Chiang Bidas Chong Chieng Jen Isu Minyak Dan Gas

Sarawak
Typography

KUCHING - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Lo Khere Chiang membidas Ahli Parlimen Bandar Kuching Chong Chieng Jen yang membuat pandangan negatif terhadap usaha Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Openg mengenai isu minyak dan gas di Sarawak.

Dalam kenyataan medianya menjelaskan bahawa Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) itu bukan berasal dari Sarawak.

"Tindakan yang dilakukan Abang Zohari itu adalah untuk mendapatkan hak Sarawak dengan sebaiknya mengikut perlembagaan dan perbincangan.

"Tetapi, sepanjang Chong menjadi Ahli Parlimen, apakah sumbangan yang diberikannya kepada Sarawak? Daripada terus mengkritik, adalah lebih baik Chong membantu Ketua Menteri dalam mendapatkan kembali hak Sarawak. Ini seperti menuang air sejuk kepada usaha Ketua Menteri yang ikhlas dan berani mendapatkan semula hak orang Sarawak.

"Ketua Menteri dengan berhati-hati mengatakan bahawa mana-mana harapan untuk mendapatkan minyak di Sarawak memerlukan kelulusan negeri," katanya.

Malah, Lo menyifatkan penubuhan syarikat Petroleum Sarawak (PETROS) yang dilancarkan baru-baru ini adalah satu lagi kejayaan Sarawak dalam mengembalikan hak Sarawak yang terhakis sebelum ini.

"Kita mempunyai seorang Ketua Menteri yang berpengalaman dan telah menubuhkan syarikat minyak Sarawak kita sendiri untuk meneroka sumber mineral asli di negeri ini dan bekerjasama dengan syarikat Petroleum Nasional (PETRONAS).

"Ini tidak bermakna kita tidak dapat bekerja dengan syarikat minyak lain yang berupaya memberikan pulangan yang lebih baik untuk kepentingan Sarawak," ujarnya. 

Ketua Menteri Sarawak telah membuka peluang kepada anak-anak Sarawak untuk terlibat dalam bidang minyak dan gas dan sudah sampai masanya rakyat Sarawak yang berkebolehan dan rajin meneroka bidang ini demi kemajuan negeri ini.

"Ketika ini kita telah berjaya mempunyai seorang kapten yang mampu memimpin negeri kita dalam mencapai kemakmuran sosial dan ekonomi yang lebih baik.

"Bagaimanapun, agak menyedihkan apabila Chong yang menganggotai parti yang berasal dari Malaya tidak dapat memimpin Sarawak untuk mencapai kuasa autonomi seperti yang dimahukan rakyat Sarawak," ujarnya.