14
Jum, Dis

Sarawak Dan Singapura Serius Dalam Realisasikan Ekonomi Digital

Sarawak
Typography

KUCHING – Sarawak dan Singapura dalam peringkat rundingan serius bagi merancakkan lagi projek pelancongan dan pertanian yang berpotensi dalam merealisasikan ekonomi digital di negeri ini.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Openg berkata, beliau telah berbincang bersama Perdana Menteri Singapura pada pertemuan mereka di Singapura baru-baru ini dan mengakui potensi Sarawak dalam melaksanakan ekonomi digital.

“Sarawak akan membuka pejabat di Singapura dalam usaha kerajaan membantu usahawan negeri ini yang ingin bekerjasama dengan rakan perniagaan mereka di negara itu. 

“Saya telah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri untuk membuka pejabat di Singapura selewat-lewatnya Januari tahun depan dan pejabat itu sangat strategik bagi Sarawak dalam ASEAN,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Apresiasi Sempena Perhimpunan Agung PBB Sarawak Ke-14 di sebuah hotel terkemuka di sini malam tadi.

Dalam pada itu juga, Abang Zohari juga menyatakan akan membuat dua pengumuman penting di mana gambaran berhubung pengumuman tersebut tidak diperjelaskan dengan terperinci.

“Pada tahun ini juga, ada dua pengumuman penting yang akan saya umumkan iaitu satu pada bulan September dan satu lagi pada bulan Oktober. 

"Apa yang dapat saya boleh nyatakan ia berhubung undang-undang kreativiti bagi golongan remaja manakala pengumuman pada Oktober pula berhubung dengan peruntukan berjumlah RM8 bilion bagi melaksanakan grid air bagi membekalkan air untuk seluruh Sarawak,” ujarnya.

Abang Zohari yang juga merangkap Yang Dipertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak berkata PBB mesti menang semua kerusi yang ditandingi dalam pilihan raya umum ke-14 nanti.

“Kita tidak mahu pisang berbuah dua kali, kita mesti melindungi hak Sarawak serta hala tuju kita sendiri ditentukan oleh kita sendiri.

“Apa yang kita lakukan ialah kita memberitahu masyarakat tentang perkara sebenar yang berlaku di negeri kita tanpa berselindung seperti pembangunan yang berlaku di Sarawak dengan menyedarkan rakyat tentang sumbangan di beri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berbanding Tun Dr. Mahathir Mohamad yang 22 tahun memerintah kerajaan tetapi memperdulikan Sarawak.

Beliau berkata, PBB sentiasa bersiap sedia dalam satu pasukan untuk  pilihanaraya tidak lama lagi dan beliau turut menyeru pengundi Sarawak untuk memberi kemenangan besar kepada BN bagi membalas apa yang telah diberikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Sarawak.

Abang Zohari turut memuji kesemua yang terlibat dalam Perhimpunan Agung PBB Ke 14 yang lepas telah melakukan tugas dengan begitu baik sekali dan dapat menyelaraskan perhimpunan berkenaan dengan cemerlang.

Majlis itu dianjurkan bagi merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada mereka terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam Perhimpunan Agung PBB Ke-14 pada 8 hingga 12 Februari lalu.

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.