23
Isn, Apr

MARA Sarawak Belanjakan RM957,184 Jalankan Program Latihan Keusahawanan

Sarawak
Typography

KUCHING - Dalam merentasi perubahan dan peredaran masa, tanggungjawab dan amanah tetap diteruskan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) demi memartabatkan bangsa.

Justeru, peningkatan bilangan program dan penerima kemudahan untuk sektor usahawan juga telah menunjukkan angka pencapaian yang dianggap amat membanggakan negeri Sarawak.

Menurut Timbalan Menteri 1, Kementerian Kemajuan Luar Bandar & Wilayah (KKLW) Datuk Alexander Nanti Linggi, jumlah tersebut selaras dengan hasrat kementerian untuk memartabatkan sektor keusahawanan sebagai pemangkin ekonomi negara dan di negeri Sarawak khasnya.

"Pada tahun 2017, sejumlah RM957,184 telah dibelanjakan oleh MARA  Sarawak untuk program latihan keusahawanan di negeri ini.

"Jumlah tersebut adalah bagi menjalankan 55 program latihan keusahawanan kepada pelbagai kluster perniagaan dimana pada tahun 2017 juga, lebih daripada 2,000 usahawan telah dibimbing," katanya dalam ucapan semasa menghadiri Majlis Perasmian Karnival Pendidikan MARA 2018 Zon Sarawak di Pusat Membeli Belah The Hills, di sini pagi tadi.

Katanya lagi, sebagai pelengkap kepada program pembentukan dan pengujudan usahawan, kementerian melalui MARA juga akan terus mendengar suara hati dan merasai keperluan dengan menyediakan ruang dan premis perniagaan bagi mengembangkan perniagaan mereka.

"MARA Sarawak memaklumkan setakat tahun semasa, sebanyak 365 lot ruang niaga telah disediakan kepada usahawan untuk disewa.

"Manakala, bagi kemudahan bantuan pembiayaan perniagaan MARA kepada usahawan merangkumi pembiayaan Kontrak dan Pembiayaan Am untuk modal pusingan dan pembelian peralatan masih disediakan," tambahnya.

Dalam pada itu, sepanjang tahun 2017 juga, jumlah penerima kemudahan pembiayaan perniagaan adalah seramai 200 orang dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM17,129,000.

Komitmen tersebut menunjukkan MARA sentiasa kekal dan terus relevan dalam membantu usahawan-usahawan di negeri ini.