22
Ahd, Jul

Mawan Ahli PBB, Parlimen Saratok Kini Milik PDP

Sarawak
Typography

KUCHING - Pengumuman Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Openg bahawa tiada calon langsung Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU14) akan datang telah mencetuskan polemik baharu politik Sarawak.

Calon langsung BN tidak hanya berkisar kepada pertelingkahan melibatkan calon-calon Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan Parti Bersatu Rakyat (UPP) sahaja, tetapi juga calon di kawasan Parlimen Saratok.

Hari ini, penyandang kerusi Parlimen Saratok yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan Tan Sri William Mawan anak Ikom dalam kenyataan terbukanya telah memaklum dan mengesahkan dirinya adalah ahli parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Tindakan ini sekaligus menjawab persoalan rakyat dan pemerhati serta penganalisis politik bahawa kedudukan Mawan yang dikatakan tidak berparti itu adalah salah.

Dalam kenyataan terbaru Mawan, beliau menjelaskan dirinya telah menjadi ahli parti komponen BN iaitu PBB itu sejak tahun 2016 ketika di bawah Pehin Sri Adenan Satem.

“No keahlian parti (PBB) saya ialah 470000,” katanya.

Beliau telah menjadi ahli PBB sebaik memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke 13 dua tahun lalu.

“Saya membuat keputusan ini bagi mendedahkan perkara ini setelah melihat situasi politik semasa di Saratok.

“Saya juga sudah memaklumkan situasi saya kepada ahli PBB Saratok,” katanya.

Sehubungan itu, Mawan menyerahkan status kerusi itu kepada pimpinan tertinggi BN dan PBB dalam membuat keputusan.

“Saya akan menghormati keputusan mereka,” jelasnya lagi.

Pengumuman itu telah membuka satu lagi cerita menarik kepada calon BN khususnya Parti Progresif Demokratik (PDP) yang sememangnya diperuntukkan ke atas kawasan Saratok.

“PDP sebelum ini telah mengumumkan Subeng Mula sebagai calon mereka bagi menggantikan Mawan,” katanya lagi.

Bagaimanapun, kedengaran beberapa media sosial yang mahu mencalonkan Naib Ketua Pemuda PBB Sarawak Leornard Jambu sebagai pengganti Mawan di kawasan Parlimen Saratok.

Persoalan di sini, apakah PDP mahu memberikan laluan kepada calon dari PBB biarpun PDP mempunyai calon terbaik mereka Subeng Mula untuk diketengahkan?

Begitupun, kedudukan terakhir mengenai calon-calon BN di 31 Parlimen di Sarawak hanya akan diumum selepas mendapat persetujuan daripada BN Pusat.

 

Secara lahiriah, siapa juga calon sama ada PDP atau PBB, kemenangan itu nanti akan memperlihatkan kemampuan BN untuk memenangi Parlimen Sibu.