25
Jum, Mei

Manifesto BN Sarawak Sangat Menyentuh Hati Rakyat

Sarawak
Typography

KUCHING – Setiausaha Kehormat Majlis Tertinggi Wanita PBB Datuk Seri Nancy Shukri menyifatkan, Manifesto Barisan Nasional (BN) Sarawak amat menyeluruh dan menyentuh hati rakyat. 

Nancy berkata manifesto BN Sarawak yang telah diumumkan Ketua Menteri Sarawak juga selaku Pengerusi BN Sarawak adalah lebih menyeluruh bagi membantu masyarakat terutama sekali mereka yang memerlukan iaitu kumpulan sasar.

“Ini bermakna jika ada pihak yang hendak melawan manifesto BN ini terutama di Sarawak bermakna pihak tersebut tidak mempunyai hati untuk membantu rakyat.

“Ini kerana dalam manifesto sama ada manifesto BN negeri mahupun pusat kita telah menyentuh setiap sudut dari usia kanak-kanak hingga warga emas dan bagi  BN rakyat adalah di hati mereka,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Manifesto BN Sarawak, di sini Isnin lepas.

Beliau juga amat berpuas hati dengan manifesto yang telah dilancarkan oleh Ketua Menteri yang telah menyentuh dari pelbagai segi seperti pendidikan, hak-hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), peluang ekonomi, keusahawanan serta dasar lain untuk membantu masyarakat yang memerlukan. 

“Dari zaman Tok Nan lagi memang kita punya dasar ini telah ditetapkan dan kini diteruskan oleh Ketua Menteri kita yang kebanyakannya adalah untuk membantu rakyat yang memerlukan.

“Manifesto BN Sarawak ini adalah pelengkap Manifesto BN pusat di mana ianya sangat terperinci dan berfokus kepada rakyat khususnya dalam membantu masyarakat yang memerlukan.

“Tugas kami untuk memastikan perkara yang dihasratkan kerajaan ini dapat dilaksanakan,” ujarnya.