22
Ahd, Jul

Abang Zohari Templak Tun Mahathir Sebagai ‘Pemalas’

Sarawak
Typography

KUCHING - “Sebenarnya Tun Mahathir Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu yang tamak, lembab dan pemalas,” tempak Ketua Menteri Sarawak Datuk Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Openg.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri 22 tahun itu telah mengguris hati rakyat Sarawak apabila tanpa segan silu memperlekehkan orang Sarawak sebagai pemalas, tamak dan lembab dalam satu forum anak muda di Kuala Lumpur.

“Yang malasnya adalah Tun M. Dahulu, tidak pernah datang ke Sarawak. Jika benar Tun M rajin, dalam tempoh 22 tahun sebagai Perdana Menteri sudah tentu adanya Lebuh Raya Pan Borneo di Sarawak ketika ini.

“Kini, apabila menjadi Pengerusi PH, sekali lagi Tun M itu datang minta undi dengan tuntutan akan memberikan bayaran royalti minyak dan gas sebanyak 20 peratus kepada kita,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Sijil Tadbir Urus Desa Zon Sarawak di Dewan Arena Gemilang di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) hari ini. 

Persoalan sekarang, kenapa semasa menjadi Perdana Menteri dahulu, Tun M tidak memberi atau menunaikan permintaan Sarawak termasuk membina Lebuh Raya Pan Borneo mahupun mengembalikan hak Sarawak?

Sehubungan itu, Abang Zohari meminta dan berpesan kepada rakyat Sarawak supaya tidak memberi undi kepada mana-mana calon pembangkang yang bertanding di bawah nama PH.

Malah, jika dibandingkan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak dengan Tun Mahathir jauh lebih baik Najib biarpun baharu 9 tahun menjadi Perdana Menteri.

Tidak cukup dengan itu, Najib sentiasa mengulangi pendiriannya dan berpegang kepada janjinya untuk mengembalikan hak-hak yang terhakis secara sengaja atau tidak sengaja berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Saya berpegang kepada janji itu (MA63). Jika tidak, saya akan cari Najib,” tegas Abang Zohari. 

Terdahulu, seramai lebih 1,000 ketua masyarakat dan ketua kaum di Sarawak hadir menyertai kursus yang dianjurkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).