23
Sel, Okt

7 Projek Bernilai RM775,000 Telah Diluluskan KKLW Di Parlimen Stampin

Sarawak
Typography

KUCHING - Sebanyak 7 projek yang dianggarkan bernilai RM775,000 telah diluluskan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) untuk dilaksanakan di Parlimen Stampin.

Timbalan Menteri KKLW Datuk Alexander Nanta Linggi berkata kesemua projek tersebut merupakan inisiatif Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawa, Datuk Dr. Sim Kui Hian dan ADUN Batu Kitang yang juga Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Lo Khere Chiang yang memohon terus kepada kementeriannya.

KKLW juga telah meluluskan dan akan melaksanakan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dengan peruntukan sebanyak RM240,000 dalam masa terdekat ini.

"Projek ini dijangka akan memberikan manfaat sebanyak 15 isi rumah yang memerlukan bantuan untuk membaik pulih rumah mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Program ‘walkabout’ di Kampung Bukit Panchor di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Prof Datuk Dr Sim Kui Hian, ADUN Batu Kitang Ir Lo Khere Chiang dan Timbalan Pengerusi MPP Datuk Ahmad Ibrahim.

Turut akan dilaksanakan ialah menaik taraf Jalan Perhubungan Desa (JPD) di Kampung Bumbok sepanjang 700 meter dengan anggaran kos sebanyak RM200,000 dan di Kampung Bukit Panchor sebanyak RM100,000.

KKLW juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM120,000 bagi menaik taraf sistem perparitan sepanjang 312 meter di Lorong 2, Kampung Bumbok menerusi Program Ameniti Sosial (PAMS). 

Begitu juga pemasangan Lampu Jalan Kampung (LJK) yang telah diumumkan dalam pembentangan Bajet 2018 sebelum ini akan dilaksanakan di Kampung Sandong yang membabitkan 11 tiang lampu dengan kos sebanyak RM8,000 daan 10 lagi tiang lampu di Kampung Panchor bernilai RM7,000.

Projek jeti di Kampung Batu Kitang Lama turut diluluskan dengan kos RM100,000 bagi kemudahan penduduk di kawasan itu.