25
Sel, Sep

BN Sarawak Dilihat Mampu Menangi 29 Kerusi Parlimen

Sarawak
Typography

KOTA SAMARAHAN - Barisan Nasional (BN) Sarawak dilihat mampu mencapai sasaran memenangi 29 daripada 31 kerusi Parlimen yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU14).

Ketua Wanita Barisan Nasional (BN) Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata keyakinan itu dilontarkan apabila melihat persiapan rapi yang telah dilaksanakan BN Sarawak sambil dibantu Pergerakan Wanita BN negeri.

"Sebagai ketua saya boleh katakan jentera Wanita BN Sarawak paling mantap, satu pasukan yang telah lama dibentuk oleh Tan Sri Empiang Jabu (bekas Ketua Wanta BN Sarawak) dan kini diteruskan oleh Datuk Seri Fatimah Abdullah (Ketua Wanita BN Sarawak).

"Melihat kepada pasukan yang mantap ini, bukan sahaja 29 kerusi kita mungkin boleh menang lebih lagi mungkin 30 atau 31 kerusi. 

"Prestasi membanggakan pada pilihan raya negeri lalu sudah cukup untuk menggambarkan persediaan Wanita BN Sarawak" katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Pelancaran Jentera PRU14 Wanita BN Sarawak di Dewan Suarah Kota Samarahan di sini semalam.

Sementara itu, pergerakan Wanita BN Sarawak menzahirkan lima aku janji bagi memastikan kejayaan pada PRU14 ini.

Menurut Ketua Wanita BN Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah, antara akujanji itu adalah bekerja sebagai satu pasukan padu dalam BN yang saling melengkapi dan menyokong demi kemenangan bergaya.

"Kami juga akan menjejaki pengundi dan mengkaji sikap mereka melalui Jalinan Rakyat Plus (JR+) supaya perkhidmatan yang diberikan menepati kehendak dan memenuhi aspirasi rakyat serta turun padang untuk memberi khidmat bakti dan menambat hati rakyat.

"Akujanji terakhir adalah terus berusaha menyalakan obor keyakinan dan kepercayaan terhadap kemampuan BN supaya semangat wanita terus semarak dan memberi sinar harapan kepada satu hasrat dan satu matlamat iaitu semua calon BN termasuk pejuang wanita menang bergaya," katanya.

Dalam pada itu, Wanita BN Sarawak akan berganding bahu dan bekerjasama dengan Pemuda BN Sarawak dan Badan Induk untuk memastikan 25 kerusi yang dimenangi dalam PRU13 kekal dan dipertahankan selain empat lagi kerusi ditawan agar sasaran 29 daripada 31 kerusi Parlimen di Sarawak menjadi milik BN.