25
Jum, Mei

Jambatan E-mart Akan Dapat Digunakan April Ini

Sarawak
Typography

KUCHING - Projek pembinaan jalan baharu Matang yang mempunyai empat lorong dan Jambatan E-mart yang merentasi Sungai Sarawak dijangka akan dapat digunakan pada April ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ketika ini projek ini hanya menunggu pengesahan audit dan Perakuan Siap Kerja (CPC) daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) sebelum dibuka kepada orang ramai untuk digunakan.

"Alhamdullilah, jambatan dan jalan E-mart sudah siap. Malam tadi (Selasa) sudah cuba lampu. Akan dibuka kepada orang ramai tidak lama lagi," katanya dalam status terbaru di dalam laman facebooknya, semalam.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru dan meminta orang ramai untuk memberikan nama jambatan baru itu yang mana ketika ini hanya menggunakan nama E-mart.

Pelbagai macam nama telah diberikan oleh pengikut facebook Fadillah dan sehingga kini ianya masih lagi diadakan.

Pembinaan jalan dan jambatan baru ini melibatkan perbelanjaan sebanyak RM145 juta yang membabitkan kerja-kerja membina dan menaik taraf jalan empat lorong dua hala piawaian U5 sepanjang 4.4 kilometer dari bulatan E-mart Matang ke Jalan Temenggung Tan Meng Chong dan jambatan baru sepanjang 320 meter.