18
Sab, Ogs

Perindustrian 4.0 Memerlukan Kemahiran Berteknologi Digital

Sarawak
Typography

TEBEDU - Dalam revolusi Perindustrian 4.0, keadaan di mana semua perkara akan menggunakan teknologi robotik, digital dan elektronik.

Menteri Pendidikan Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak Dato Sri Michael Manyin anak Jawong berkata, era Perindustrian 4.0 memerlukan kemahiran berteknologi memandangkan semua perkara akan berkaitan dengan digital.

"Untuk mencapai hasrat ini, ibu bapa digalakkan membeli gajet untuk anak-anak mereka bagi memberikan pendedahan kepada mereka dengan peralatan elektronik.

"Ini bertujuan anak-anak mengetahui peralatan yang diperlukan dalam mengharungi Perindustrian 4.0.

"Malah, kanak-kanak cepat belajar dan perlu diberikan peluang supaya mereka tidak ketinggalan zaman," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Serbaguna Kampung Jenan, di sini malam ini.

Menyentuh mengenai pendidikan di negara ini, Michael yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu menyifatkan ia perlu dirombak.

"Kementerian Pendidikan harus memandang penting mengenai pengajaran awal kanak-kanak.

"Begitu juga halnya dengan tenaga pengajar yang mana mereka (guru) perlu datangnya daripada kelulusan tertinggi di peringkat Ijazah Sarjana Muda, tetapi tidak di negara ini.

"Juga, sekolah rendah sepatutnya diberikan keutamaan dari segi infra dan kelengkapan mengajar supaya mereka boleh belajar dengan lengkapnya kemudahan pengajaran dan pembelajaran," katanya.

Di negara maju seperti China dan Singapura juga Finland, setiap di kalangan tenaga pengajar terdiri daripada golongan profesional atau sekurang-kurangnya memiliki ijazah.

Sebelum itu, Michael telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM120 ribu kepada Kampung Jenan dan RM100 ribu lagi kepada Kampung Kakeng.

Beliau turut mengumumkan kerja-kerja membaiki tanah runtuh di Jalan Kampung Jenan/Sukah yang bernilai RM500 ribu akan dilaksanakan tidak lama lagi oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).

Manakala, Jalan Sukah/Jenan yang bernilai RM6 juta telah pun siap sepenuhnya pada tahun lepas.