25
Sel, Sep

Pembangkang Hanya Mahu Raih Sokongan Dan Minta Perhatian

Sarawak
Typography

KUCHING - Menteri Kerja Raya Dato' Sri Fadillah Yusof hari ini menempelak parti pembangkang yang cuba meraih sokongan daripada isu rungutan para penduduk di kawasan Taman Lee Ling di Matang dan sekitarnya berkaitan dengan kesesakan lalu lintas di kawasan mereka selepas siapnya pembinaan Jambatan Emart. 

Menurut Fadillah, isu rungutan penduduk tersebut sebenarnya telah diambil maklum oleh pihaknya bersama dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman sebelum itu pembangkang membangkitkan isu tersebut baru-baru ini.

Justeru, sebaik menyedari ada masalah yang timbul pihak-pihak tertentu, Fazzrudin telah diarahkan untuk mengatasi segera masalah yang ada.

“Itu biasalah. Pembangkang akan ambil kesempatan. Yang buat kerja BN dan yang nak ambil nama orang lainlah. Itu biasalah.

"Tapi, kita ni yang buat bekerja. Siapa yang mengikuti Facebook saya dan juga Yang Behormat Saudara Fazzarudin, mereka tahu bahawa kita ni sentiasa mengadakan mesyuarat dan perbincangan dengan pegawai-pegawai termasuklah di peringkat Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) dan sebagainya.

“Mungkin menyedari akan apa dibangkitkan sebelum ini, ada orang nak ambil peluang seolah-olah mereka yang memperjuangkan nasib rakyat," katanya ketika ditemui selepas mengadakan audit akhir di Jambatan E-mart Matang di sini, hari ini.

Fadillah berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Parlimen Petra Jaya, Datuk Dr. Nor Irwan Ahmat Nor yang meminta kerajaan mengatasi masalah kesesakan jalan di kawasan berkenaan.

Kebiasaannya pihak pembangkang akan mengambil peluang sebaik mungkin demi memastikan agar rakyat melihat seperti mereka yang mengatasi masalah yang timbul padahal masalah tersebut telah diatasi dan ditangani sebaiknya oleh kerajaan.

Mengulas lanjut tentang komitmen BN dalam melaksanakan projek infrastruktur, Fadillah memaklumkan kemudahan tersebut adalah bagi kebaikan dan kemudahan rakyat seperti yang diamanahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Patinggi Mohd Najib Tun Razak dan Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Openg.

“Buat masa ini, laluan memotong jalan pintas dari taman berkenaan ke kawasan Metrocity yang dibangkitkan penduduk telah ditutup sementara demi keselamatan pengguna agar tidak didedahkan dengan bahaya.

“Walau bagaimanapun, kita sudah minta pihak JKR melihat balik reka bentuk untuk membuat persimpangan lampu isyarat pintar yang sudah pun siap, cuma kita sedang menunggu peruntukan tambahan yang dianggarkan berjumlah lebih RM800,000 untuk memulakan pembinaan tersebut,” ujarnya.