23
Sel, Okt

Masjid At-Taqwa Pelengkap Kepada Pembangunan Ummah Di Saribas

Sarawak
Typography

SARIBAS - Siapnya Masjid At-Taqwa yang terletak di Kampung Tuie ini merupakan pelengkap kepada pembangunan ummah di kawasan Saribas ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Mohamad Razi bin Sitam berkata siapnya masjid ini membolehkan umat Islam di Kampung Tuie dan sekitarnya menjalankan ibadah dengan lebih selesa dan sekaligus meningkatkan syiar Islam di kawasan Saribas ini.

"Pada malam ini aktiviti Ceramah Israq dan Mikraj merupakan aktiviti pertama bagi AJK Masjid At-Taqwa selepas siapnya masjid ini baru-baru ini.

"Terima kasih kepada Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Betong dan AJK Masjid At-Taqwa di atas penganjuran program yang baik seumpama ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir di Program Ceramah Israk dan Mikraj yang dianjurkan JAIS Betong dan AJK Masjid At-Taqwa di sini.

Kesempatan ini, Razi turut mengucapkan terima kasih kepada semua barisan AJK Pengerusi Masjid dan JKKK Kpg Tuie kerana telah banyak membantu dalam merealisasikan pembinaan masjid ini.

"Setelah segala usaha dalam mencari jalan penyelesaian untuk mendapatkan sebuah masjid baru di Kampung Tuie, Alhamdulillah, segalanya telah dipermudahkan.

"Terima kasih kepada semua barisan AJK Pengerusi Masjid dan JKKK Kpg tuie kerana telah banyak membantu," ujarnya.

Sebelum itu, Razi memohon maaf di atas campur tangan dalam pembinaan masjid ini khususnya dalam soal dekorasi dan reka bentuk.

"Saya memohon maaf di sepanjang pembangunan masjid ini dengan mencelah dalam soal dekorasi dan reka bentuk.

"Ini kerana saya mahu melihat Masjid At-Taqwa ini dibina dan menjadi sebuah masjid yang selesa untuk digunakan.

"Pada malam ini jelas terbukti bahawa segalanya telah membuahkan hasil yang sangat memuaskan," katanya.

Selepas ini saya mengesyorkan kepada JAIS Betong untuk bekerjasama dengan surau dan masjid di kawasan Saribas untuk mengadakan lebih banyak aktiviti dan program berbentuk ceramah ilmiah dalam memastikan masyarakat Saribas tidak terlepas dengan ilmu duniawi dan akhirat.