23
Isn, Apr

Pembangkang Selepas Menang PRU13 Parlimen Miri Buat 'Tengok Sahaja'

Sarawak
Typography

MIRI - Selepas memenangi kerusi Parlimen Miri pada Pilihan Raya Umum Ke 13 lepas, wakil rakyat pembangkang hanya 'tengok sahaja' pembangunan yang dibuat Barisan Nasional (BN) sedangkan apa yang dibuat mereka selama ini di Parlimen Miri.

Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Prof. Dr. Sim Kui Hian berkata selepas memenangi kerusi Parlimen Miri, apakah sumbangan dan yang telah dibuat wakil rakyat pembangkang (PKR).

"Barisan Nasional dan SUPP mesti menang dalam Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU14) di kawasan Parlimen Miri.

"Sudah tiba masanya kita tolak pembangkang yang hanya 'tengok sahaja' tanpa berbuat apa-apa terhadap pembangunan di Miri.

"Kali ini SUPP akan bekerjasama dengan semua komponen BN di Miri bagi memastikan calon BN menang di Parlimen Miri pada PRU14 ini," katanya semasa berucap di Majlis Pelancaran Trak Perang SUPP di Perkarangan SUPP Cawangan Senadin di sini, malam tadi.

Sim turut mengucapkan terima kasih kepada pengundi-pengundi Miri yang telah memberikan kemenangan kepada SUPP dan BN di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Piasau dan Senadin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke 11 lepas.

Sementara itu, beliau turut menceritakan bagaimana sayangnya ke atas Sarawak biarpun pernah berkhidmat di hospital luar negara.

"Disebabkan sayangkan Sarawak, saya telah kembali ke negeri ini dan berkhidmat dengan hospital milik kerajaan dan bukan swasta.

"Selain polisi kerajaan yang baik kepada rakyat, Sarawak juga sebuah negeri yang aman dan damai walaupun didiami pelbagai kaum," ujarnya.

Mengulas mengenai taktik pembangkang yang membawa isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), Sim menempalak pembangkang yang mahu menghapuskan GST, tetapi melaksanakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang sangat membebankan rakyat.

"Pembangkang mengkritik kerajaan melaksanakan GST sebanyak 6 peratus, tetapi akan melaksanakan SST sebanyak 16 peratus.

"Berdasarkan kepada angka, jelas SST lebih besar dan ia sangat membebankan rakyat selain daripada peniaga dan pemborong yang boleh menaikkan harga dengan sesuka hati," katanya.

Sejak dahulu lagi, polisi kerajaan BN Sarawak memberikan peruntukan kepada sekolah Cina, persatuan dan agama dalam memastikan mereka ini terlibat dalam pembangunan negeri.

"Atas sebab itulah, pembangkang khususnya rakan mereka di Semenanjung tidak gembira dengan 'kebaikan' yang ditunjukkan kerajaan BN Sarawak," tambahnya.

Kejayaan Kerajaan Negeri Sarawak menubuhkan Syarikat Petroleum Sarawak (PETROS) adalah mempunyai kaitan dengan hak-hak Sarawak ke atas kedaulatan tanahnya.

"Keuntungan Syarikat Petroleum Malaysia (PETRONAS) sebanyak RM45.5 bilion pada tahun lepas dan 1/3 daripada adalah diperoleh dari Sarawak.

"Atas sebab itu juga, PETROS ditubuhkan bagi membolehkan Kerajaan Negeri Sarawak terlibat sama dalam pengoperasian minyak," katanya lagi.

Sehubungan itu, rakyat Miri diingatkan untuk terus memberikan sokongan kepada BN dan SUPP bagi memastikan suara BN Sarawak kuat di Parlimen sekaligus membolehkan hak Sarawak dapat dikembalikan mengikut aturan yang sedia ada.

"Sudah tiba masanya SUPP merampas kembali kesemua kerusi yang pernah jatuh ke tangan pembangkang pada pilihan raya sebelum ini.

"Tidak mustahil kita (BN) memperoleh kemenangan 31 Parlimen termasuk kesemua kerusi Parlimen yang diberikan kepada SUPP," katanya.