27
Jum, Apr

Litar Perlumbaan Motor Sudah Dikenalpasti

Sarawak
Typography

KUCHING – Kerajaan  melalui pihak Kelab Sukan Permotoran Petra Jaya telah mengenalpasti satu lokasi sesuai untuk membina litar perlumbaan motor dalam usaha kerajaan mempromosikan sukan tersebut di negeri ini.

Tapak yang terletak di Jalan Matang Baru tersebut dilihat sebagai lokasi sesuai berdasarkan beberapa faktor yang telah dinilai.

Menteri Kerja Raya Malaysia, Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, buat masa ini Kelab Sukan Permotoran Petra Jaya hanya menggunakan kawasan di Metro City di matang yang mana tapak tersebut merupakan tapak ihsan yang telah mendapat kerjasama daripada pemilik kawasan berkenaan untuk dijadikan litar perlumbaan.

Bagaimanapun, litar di Metro City kurang sesuai kerana tidak menepati garis panduan sukan pemotoran.

“Seperti mana yang kita lihat pada hari ini menyaksikan bahawa pertandingan pemotoran motosikal khususnya drag begitu popular sekali di Sarawak.

“Dan kita dapat melihat penyertaan bukan sahaja dari Kuching tetapi juga penyertaan dari seluruh negeri Sarawak dan ada juga dari Semenanjung turut hadir sama dalam pertandingan ini, maknanya peminat sukan motor ini semakin ramai.

“Sebab itu dari tahun lepas kita telah mengusahakan untuk memohon supaya dapat diadakan litar pemotoran di Sarawak dimana pihak permotoran telah kenalpasti kawasan di jalan Matang untuk dijadikan litar untuk perlumbaan motor di Sarawak.

“Dan kita akan terus memohon sokongan daripada  kerajaan negeri untuk mewujudkan litar drag ini khususnya dan buat masa ini rekabentuk dan kos masih belum diputuskan sehingga kita dapat tanah dan kawasan yang telah dikenalpasti,” katanya ketika ditemui selepas menyaksikan majlis penutupan Karnival Sukan Bermotor Sarawak anjuran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Parlimen P194 Petra Jaya dan Kelab Sukan Permotoran DCS Petra Jaya di Metro City di sini semalam.

Tambah Fadillah lagi, dengan adanya litar yang lebih sesuai ianya diyakini mampu menarik lebih lagi pengunjung dan peminat sukan tersebut hadir ke negeri ini dan dilihat akan menjadi platform untuk menghasilkan pelumba yang berbakat dan berdaya saing dari negeri ini.

Hadir sama Ahli Dewan Negara Senator dr, Zaiedi Suhaili dan Presiden Kelab Sukan Permotoran DCS Petra Jaya Sofian Fariz.