23
Isn, Apr

Kerajaan Akan Pastikan Seni Silat Melayu Terus Dipertahankan

Sarawak
Typography

KUCHING – Kerajaan akan terus mempertahankan Seni Silat Melayu di negeri ini dalam memastikan Seni Silat Melayu tidak hilang dan dilupai di masa akan datang.

Menteri Kerja Raya Dato’Sri Fadillah Yusof berkata, demi memastikan warisan Negara tersebut terus utuh, semua pihak terutama sekali petubuhan mahupun persatuan yang berkaitan dengan seni silat haruslah memainkan peranan masing –masing dalam perkara ini.

Katanya, seperti yang terkandung dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) negeri Sarawak yang dilancarkan baru-baru ini, antara tumpuan kerajaan negeri adalah untuk terus Memelihara Kebudayaan,Warisan yang ada di negeri ini.

 “Kegiatan ini kebanyakkan bermula daripada persatuan, misal kata di Sarawak ialah Rumpun Silat Sarawak (RSS).

“Sebab itu saya sentiasa menyokong RSS dan semua perguruan silat untuk menjalankan kegiatan ini dengan kita menyokong salah satunya mengadakan pertandingan selainnya memberi peruntukan supaya mereka dapat menjalankan kegiatan mereka.

“Dan di peringkat kerajaan pun kita memang ada peruntukan yang disediakan untuk menyokong segala pertubuhan yang mengembangkan kebudayaan dan kesenian kita ini,”katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis penutupan Kejuaraan Silat 2018 Piala Pusingan Dato' Sri Fadillah Yusof yang berlangsung di Dewan Akademi Kastam (AKMAL) Jalan Matang di sini pada malam tadi.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Fazzrudin Abdul Rahman dimana menyaksikan kira -kira 17 pasukan dari pelbagai pertubuhan Seni Silat di bahagian Kuching dengan anggaran sekitar 300 peserta silat telah menyertai pertandingan yang diadakan setiap tahun tersebut dan berlangsung selama tiga hari bermula 13 hingga 15 April iaitu semalam.

 

Tambah Fadillah lagi, kerajaan termasuk pihak-pihak berkaitan juga telah melakukan pelbagai usaha dengan melatih lebih ramai peminat seni silat terutama daripada kalangan anak muda untuk meminati seni mempertahankan diri ini.

“Ini sebahagian usaha kita untuk mengekalkan warisan dan warisan kita salah satunya seni mempertahankan diri dan silat adalah salah satu rumpun seni mempertahankan diri selain daripada yang datang daripada luar seperti yang datang dari Japan, daripada korea dan sebagainya.

“Tetapi yang patut kita tonjolkan ialah Seni Silat Melayu itu sendiri sebab ianya berasal dari negeri kita sendiri dan kita patut pupuk,”ujarnya.

Justeru itu tegasnya, seni silat ini hendaklah terus giat diperkenalkan kepada anak muda tanpa mengira umur dan juga kaum agar silat ini tidak terhad kepada satu kaum sahaja dan tidak hilang ditelan zaman.

Beliau juga turut menyeru kepada pihak yang berkaitan agar bertindak pantas dengan mempopularkan lagi seni silat ini dengan mengadakan lebih banyak pertandingan di peringkat negeri  disamping membawa seni silat ini ke sekolah –sekolah demi menarik minat lebih ramai lagi anak muda.