18
Kha, Okt

PIBG Digalak Sentiasa Adakan Program Motivasi Dan Klinik Ujian

Sarawak
Typography

KOTA SAMARAHAN – Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) termasuk sekolah – sekolah diseru agar lebih kerap mengadakan program motivasi dan klinik ujian untuk pelajar- pelajar mereka.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato’Sri Nancy Shukri berkata, program –program tersebut merupakan salah satu usaha dan faktor penting untuk mencapai keputusan cemerlang dalam sesuatu peperiksaan.

Beliau juga percaya program seperti itu dapat membantu peserta lebih mengenali diri masing-masing disamping mendedahkan pelajar tentang teknik belajar yang berkesan.

“Saya percaya program ini dapat bantu peserta disamping mendedahkan pelajar tentang teknik belajar yang berkesan.

“Ianya juga menunjukkan bagaimana kejelasan matlamat akan membawa ke arah kehidupan yang lebih cemerlang dan saya harap semoga program seumpama ini dapat berterusan pada masa-masa akan datang,” katanya dalam ucapan semasa hadir pada Program Transformasi Pelajar Cemerlang 2018 untuk pelajar dari SMK Sadong Hilir (SEMERA), SMK Sadong Jaya dan SMK Pesantren Abdul Taib Mahmud di Pusat Islam Tun Sallahuddin (PITAS) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini semalam.

Mengulas lanjut, beliau turut menyatakan pendidikan yang berkembang maju adalah faktor penting dalam usaha mencapai Wawasan 2020.

Dalam Rancangan Malaysia ke-11 juga tambahnya, tumpuan kepada bidang pendidikan adalah salah satu usaha membangunkan modal insan dan memacu ke arah negara maju.

Malah,topik pendidikan juga menjadi aspirasi kedua tertinggi disamping topik belia yang merangkumi 16% daripada aspirasi terkandung dalam Kanvas Belia Transformasi Nasional (TN50).

“Menurut Kanvas Belia TN50, belia mahukan sistem pendidikan yang relevan dengan memenuhi keperluan pasaran serta bersifat berterusan.

“Bukan itu sahaja, aspirasi belia juga mahukan negara menyediakan pendidikan berkualiti serta mampu dibiayai di setiap peringkat, selain pendidikan rendah dan menengah percuma, khususnya di kawasan terpencil.

“Untuk itu, hala tuju pendidikan pada abad ke-21 ini memfokuskan kepada pemikiran yang berdaya saing menerusi Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) sebagai persiapan ke arah transformasi Perindustrian Ke-empat bagi generasi akan datang,”ujarnya.

Justeru, kerajaan (pembuat dasar dan undang-undang) juga jelasnya perlu mendengar pandangan daripada rakyat.

Sebab itulah pada zaman ini banyak jalinan kerjasama telah dilakukan bagi memberi peluang, penjelasan dan untuk kita mendengar apa yang jadi keinginan rakyat disamping kerajaan juga telah menggunakan banyak peruntukan untuk beri peluang pelajar-pelajar memperbaiki diri.

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.