18
Kha, Okt

ADUN Kalaka Sumbang RM12,000 Untuk K1M Laksanakan Program Berkesan Dan Terbaik

Sarawak
Typography

SARATOK  - Sebagai tanda sokongan kepada ahli-ahli Kelab 1Malaysia (K1M), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Datuk Abdul Wahab telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM12,000 kepada enam K1M di Daerah Saratok bagi  melaksanakan program yang berkesan dan memberi impak terbaik kepada kampung dan rumah panjang masing-masing.

Menurut Wahab dalam ucapannya semasa menyempurnakan Majlis Penangguhan Program Sepakat Komuniti 1Malaysia di Dewan Rumah Dayak di sini semalam, K1M dilihat mampu membantu kerajaan menyebarkan maklumat dan dasar kerajaan yang betul dan tepat kepada pelbagai lapisan masyarakat.

Ahli-ahli K1M juga katanya telah memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat dan polisi kerajaan yang betul dan tepat kerana maklumat yang tidak tepat akan memberi kesan negatif kepada masyarakat, ujar beliau.

Beliau turut menyeru ahli-ahli K1M memastikan anak-anak mendapat pendidikan terbaik terutamanya dalam bidang teknikal bagi meralisasikan hasrat kerajaan untuk memperkasakan generasi muda yang menjadi tunjang utama Negara di masa hadapan.

Terdahulu, Pegawai Penerangan Bahagian Sri Aman dan Betong, Roszilawati Nor Aziz mengingatkan ahli-ahli K1M untuk bekerjasama dan bergiat aktif di tempat sendiri dalam memastikan apa yang dirancang membawa kebaikan kepada ahli dan masyarakat.

Beliau turut menyeru ahli-ahli K1M agar tidak menyebarkan berita-berita atau maklumat yang tidak benar agar masyarakat tidak keliru dengan maklumat yang diterima dan menyelidik terlebih dahulu sesuatu maklumat yang diperolehi sebelum disebarkan.

Program tersebut telah dihadiri oleh seramai 200 orang ahli daripada enam K1M di Daerah Saratok. K1M tersebut adalah K1M Pekan Saratok, K1M Kampung Melango Baru, K1M Kampung Sessang, K1M Kampung Melayu Roban, K1M Peligong Sebetan dan K1M Temudok Krian.

Program yang bermula di sebelah petang itu dipenuhi dengan pelbagai aktiviti seperti Pameran Pusat Maklumat Rakyat, Pertandingan Gerak Tari, Pertandingan Karaoke dan Kuiz Kenegaraan dan berakhir dengan Majlis Penangguhan pada sebelah malam.

Turut hadir, Pegawai Daerah Saratok, Mohd Ikmal Abdullah, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Saratok, Nazry Mohamat, Pegawai Kanan Polis Daerah Saratok, Inspektor Dzifadrin Apin, Pegawai Penerangan Daerah Saratok, Florence Sebastian Unting dan Ketua-Ketua Masyarakat.

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.