23
Isn, Apr

Guru Antara Faktor Lahirnya Pelajar Cemerlang Dalam Bidang Akademik Dan Kokurikulum

Sarawak
Typography

MERADONG – Guru dilihat antara faktor yang boleh melahirkan seorang pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik mahupun bidang kokurikulum.

Justeru, keselesaan para guru sama semasa mengajar juga perlu diberikan keutamaan agar sesi pengajaran dan pembelajaran pelajar tidak terjejas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, keselesaan seseorang guru semasa mengajar juga antara peranan yang tidak wajar dipandang mudah.

“Guru memainkan peranan yang amat penting untuk melahirkan pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum tetapi keselesaan mengajar juga memainkan peranan.

“Justeru, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Sekolah Jenis Kebangsaan SJK (C) Ming Tee ini dengan kerjasama yang erat daripada YDP Persatuan ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah untuk menaik taraf keadaan sekolah dan membina bangunan bilik darjah dan pejabat guru yang baru pada pagi ini,” katanya dalam ucapan semasa hadir merasmikan majlis pecah tanah naik taraf sekolah tersebut di sini, pagi tadi.

Turut hadir Setiausaha Politik Ketua Menteri Teng Ung Woo, Guru Besar SJK (C) Ming Tee Ting Siik Ngo dan Pengerusi Lembaga YDP PIBG Hu Lick King.

Sementara itu, tambah Ding lagi, pencapaian pendidikan dan kokurikulum di daerah Meradong juga dilihat amat cemerlang pada tahun lepas.

Ianya adalah kerana penglibatan semua pihak termasuk kerajaan negeri yang sentiasa menitik beratkan aspek pendidikan terhadap para pelajar di daerah berkenaan.

“Pendidikan sahaja mampu mengubah kehidupan sesebuah keluarga tanpa mengira darjat dan perbezaan kaum serta agama.

“Maka saya amat berharap hubungan antara satu sama lain terus kekal erat dan sokongan kepada kerajaan dan Calon BN pada Pilihan Raya umum Ke 14 (PRU14) adalah amat penting agar banyak lagi pembangunan dapat disalurkan di Daerah Meradong dan Sarikei ini,” tambahnya.