23
Isn, Apr

Sukaneka Keluarga Eratkan Hubungan Masyarakat - Dr Abdul Rahman

Sarawak
Typography

KUCHING - Program sukaneka keluarga, selain dari mengeratkan serta mengikatkan perhubungan silaturahim di antara keluarga ianya juga boleh merapatkan hubungan sesama masyarakat setempat.

Menteri Muda Utiliti (Elektrik) Sarawak Dr Haji Abdul Rahman Junaidi berkata, di samping itu, aktiviti sedemikian boleh menceriakan institusi keluarga dan juga masyarakat.

"Semestinya, banyak cabaran dalam membuat persediaan penganjuran sesuatu program tetapi dengan adanya kerjasama yang mantap maka semuanya, InsyaAllah, akan berjalan dengan lancar," katanya

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Perasmian Sukaneka Keluarga BGS 2018 dan Pertandingan Ngail Raja Udang anjuran KJM BGS dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuching Utara DBKU), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Boyan dan Pergerakan Wanita PBB Ranting Boyan di Tebingan Sungai Boyan, Gersik dan Sourabaya (BGS), di Kampung Boyan semalam.

Tambah Abdul Rahman lagi, pada zaman sekarang, ketua keluarga sememangnya sibuk mencari nafkah untuk keluarga tetapi dengan adanya program keluarga sebegini, ia akan memberi peluang kepada sesebuah keluarga menyertai aktiviti bersama masyarakat sekeliling.

Abdul Rahman, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai berkata institusi kekeluargaan ini juga penting dalam memelihara kehidupan bermasyarakat.

"Institusi kekeluargaan dan masyarakat seperti KJM ini amatlah penting dalam mengadakan pelbagai program supaya ia dapat disertai oleh setiap lapisan masyarakat," katanya.

Beliau mengucapkan tahniah kepada KJM BGS dan PBB Ranting Boyan di atas kejayaan menganjur program tersebut dan turut menyarankan agar pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengambil bahagian dalam mengadakan program-program sedemikian.

"Terima kasih juga kepada pihak DBKU kerana telah berjaya mengambil inisiatif menubuhkan KJM ini bagi membantu mereka mengadakan program bersama komuniti di bawah pentadbiran DBKU.

"DBKU sentiasa bersama kita dan telah mengadakan takwim tahunan bagi menganjurkan program dan KJM BGS mengabungkan empat buah kampung iaitu Kampung Boyan, Kampung Gersik, Kampung Sourabaya Ulu dan Kampung Sourabaya Hilir," katanya lagi.