22
Ahd, Jul

Pembangunan Berterusan, Tanggungjawab Kerajaan - Abdul Rahman

Sarawak
Typography

KUCHING - Salah satu dari matlamat Kerajaan Negeri Sarawak adalah membangunkan kemudahan infrastruktur dan keperluan awam yang secukupnya bagi semua golongan masyarakat.

Menteri Muda Utiliti (Elektrik) Dr Haji Abdul Rahman Junaidi berkata, pelbagai projek mengikut keutamaan yang dipohon oleh pentadbiran kampung telah dan akan dibina bagi memberi kemudahan dan keselesaan penduduk setempat.

"Projek-projek seperti dewan, padang futsal, padang bola sepak, bina baru dan baikpulih surau/masjid, sistem perparitan dan sebagainya telah pun diluluskan mengikut fasa-fasa yang tertentu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika Majlis Perasmian Dewan Serbaguna Sunan Bonong, Kampung Demak Baru Fasa 2 di sini, semalam.

Abdul Rahman yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai menambah, kerajaan juga akan melihat keperluan ataupun keadaan yang memerlukan pembinaan yang segera akan diberi keutamaan.

"Projek dewan tersebut melalui peruntukan RTP ADUN Pantai Damai 2017 bernilai RM300,000 dan telah siap dibina dalam masa setahun.

"Pembinaan dewan berkenaan mengikuti keperluan seperti gelanggang permainan, pentas, tandas, pejabat pentadbiran dan sebagainya," katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan penduduk setempat agar berterima kasih kepada kerajaan negeri yang begitu prihatin dalam membangunkan kampung.

Pada masa yang masa menyarankan pihak pentadbiran kampung dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kampung tersebut serta masyarakat kampung supaya bersama-sama menjaga dewan mahupun infrastruktur yang dibina.

"Kemudahan yang dibina di kampung kita adalah untuk kegunaan masyarakat kampung termasuk kita sendiri, anak-anak dan juga keluarga kita," tambahnya lagi.