23
Isn, Apr

Dakwaan Pembangkang Negara Bankrap Adalah Palsu Dan Bohong

Sarawak
Typography

KUCHING - Negara tidak pernah bankrap dan tuduhan itu yang sengaja diadakan pembangkang itu bertujuan menggambarkan imej yang tidak baik kepada kerajaan selain memberikan imej palsu.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah mengingatkan penjawat awam agar tidak tertipu dan termakan dakyah pembangkang yang mengatakan negara bankrap seperti yang ditular di media sosial dan setiap ceramah politik pembangkang.

Sebaliknya, ujar Mohd Irwan, hasil negara telah diuruskan baik oleh kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak yang mencakupi menampung kos operasi dan membangunkan negara ini.

"Kata negara bankrap adalah salah, hutang negara ketika ini 50.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kalau kita tengok hutang Amerika, Jepun dan Singapura lebih 100 peratus tetapi negara itu tidak bankrap. 

"Inilah gambaran yang dimainkan pembangkang untuk mengelirukan rakyat dengan mengatakan bahawa negara akan bankrap dan sebagainya," katanya sesi amanat bersama kira-kira 1,000 penjawat awam di Pusat Konvensyen Penview, Demak Laut di sini semalam. 

Jelas Mohd Irwan lagi, jika negara bankrap sudah tentu terdapat masalah untuk membayar gaji penjawat awam di negara ini.

"Malah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengumumkan kenaikan kadar pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada RM2,000 jika Barisan Nasional (BN) menang pada Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU14). 

“Kalau negara bankrap buat apa Perdana Menteri nak umum naikkan BR1M jika BN menang?” soalnya lagi.

Dalam pada itu, kerajaan akan terus mengamalkan langkah konsolidasi fiskal bagi mengurangkan paras defisit secara berperingkat yang mana pada tahun ini pihaknya menyasarkan 2.8 peratus berbanding 3 peratus pada tahun lalu. 

Juga, kadar eksport negara berkembang sebanyak 17 peratus pada tahun ini.

Manakala, bagi pelaburan asing pula, Mohd Irwan mendedahkan, ia semakin meningkat apabila tahun lepas meningkat sebanyak RM39.2 bilion. 

Persoalan di sini, kenapa orang luar hendak melabur ke Malaysia? Jika benar negara bankrap, orang luar khususnya pelabur tidak akan melabur mahupun menjejak kaki ke negara ini.

"Sebab utama pelabur datang ke negara kita disebabkan negara kita ini stabil, ekonominya kukuh, infrastrukturnya baik dan paling penting kestabilan politik,” tegasnya. 

Ketika ini, rizab antarabangsa kini bernilai RM400 bilion dan itu secara langsung menunjukkan kewangan negara masih kukuh. 

 

Selain itu, katanya, Penarafan Kemungkiran Penerbit (IDR) mata wang asing dan tempatan jangka panjang Malaysia masing-masing kepada A- dan A dengan unjuran stabil oleh Fittch Ratings juga menunjukkan pengurusan kewangan negara masih baik.