16
Kha, Ogs

Kembalikan Kegemilangan Sukan Sepak Takraw - Abdul Rahman

Sarawak
Typography

KUCHING - Sukan sepak takraw suatu ketika dulu pernah mendapat sambutan masyarakat terutamanya daripada golongan muda dan ini harus dikekalkan biarpun berlaku peredaran zaman.

Menteri Muda Utiliti (Elektrik) Dr Haji Abdul Rahman Junaidi berkata, sekarang sukan sepak takraw telah ditenggelami oleh kemunculan sukan-sukan yang moden seperti futsal, street soccer, bola baling, petanque dan banyak lagi.

"Dahulunya, sukan sepak takraw amat diminati oleh anak-anak muda di setiap kampung dan menerusi sukan ini, ia dapat memupukkan semangat perpaduan dan setiakawan.

"Generasi muda yang ada di dalam kampung setempat haruslah diketengahkan dengan sukan ini sejak umur mereka di bangku sekolah rendah.

"Usah biarkan sukan Sepak Takraw tidak hilang ditelan kemodenan sukan-sukan yang ada masa kini," katanya lagi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Perasmian Kejohanan Sepak Takraw Jemputan Pergerakan Pemuda PBB Ranting Santubong pada pagi semalam.

Abdul Rahman yang juga ADUN Pantai Damai mengucapkan tahniah kepada Jawatankuasa pengelola yang dapat menganjurkan sukan tersebut.

"Usaha Pergerakan Pemuda PBB Ranting Santubong ini amat digalakkan bagi tujuan mengembalikan kegemilangan sukan ini terutamanya untuk generasi yang baru," ujarnya.

Dalam kejohanan ini, sebanyak 12 buah pasukan dijemput untuk menyertaikan kejohanan ini yang julung kali diadakan oleh Pergerakan Pemuda PBB Ranting Santubong.