23
Sel, Okt

S4S Bantah BN Sarawak Sertai PH Dan Mahu Tun Mahathir Tunai Janji Kembalikan Hak Sarawak

Sarawak
Typography

KUCHING - Kumpulan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO's) Sarawak For Sarawak (S4S) mahu Barisan Nasional (BN) Sarawak berdiri atas kerajaan sendiri demi kebaikan negeri ini dan tidak menyertai Pakatan Harapan (PH).

Ini disuarakan kira-kira 40 orang ahli-ahli S4S yang meminta kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Openg berdiri sendiri tanpa perlu terikat dengan parti dari Semenanjung Malaysia.

Jurucakap S4S KC Tan berkata, BN Sarawak yang diterajui Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) harus membuat pilihan yang tepat agar perjuangan untuk menuntut kembali hak-hak Sarawak yang mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dapat dicapai.

“Saya berpendapat adalah lebih baik BN Sarawak yang diterajui PBB membentuk kerajaan sendiri tanpa perlu menyertai PH.

“Ini penting agar mereka lebih kuat suaranya dalam menyuarakan dan menuntut hak-hak Sarawak mengikut MA63 dan kita di S4S menyokong sekiranya BN Sarawak berdiri sendiri kerana inilah masa yang sesuai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan perhimpunan aman bagi membantah BN Sarawak Menyertai Pakatam Harapan di sini semalam.

Tan turut berkata, ia terpulang kepada Abang Zohari lagi untuk menentukan hala tuju Sarawak tanpa menjejaskan perjanjian dan matlamat dalam menuntut hak negeri ini.

Sementara itu, Tan juga mendesak Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menunaikan janji-janji PH pada Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU14) khususnya dalam mengembalikan hak-hak Sarawak yang terhakis secara sengaja atau tidak sengaja di dalam MA63.

"Himpunan pagi ini juga bertujuan menuntut kerajaan baharu di bawah PH menunaikan janji-janji mereka terutama yang berkaitan MA63.

“S4S akan terus mendesak agar hak-hak Sarawak dikembalikan semula dan MA63 sentiasa dihormati.

“Kita juga akan terus menuntut dan memperjuangan hak-hak Sarawak seperti yang terkandung dalam MA63 agar perjanjian ini terus dihormati dan diikuti,” tegasnya.