26
Rab, Sep

Teknik Pemasangan Jaring Berjaya Temui Mayat Mangsa Lemas

Sarawak
Typography

SIBU - Adik kepada Pelei Ichang, 45 tahun yang dikhuatiri lemas telah berjaya dijumpai selepas mayatnya tersangkut di jaring yang dipasang berhampiran muara Batang Rajang, satu kilometer dari lokasi kejadian di Sungai Song.

Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat berkata pihaknya telah menggunakan teknik memasang jaring bagi mengelak mayat mangsa hanyut ke Batang Rajang.

"Teknik memasang jaring bagi menghalang mayat mangsa hanyut ke Batang Rajang telah berjaya," katanya dalam satu kenyataan kepada media.

Seramai enam anggota Bomba dari BBP Song dan dibantu lima anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari BBP Sungai Merah telah dikerahkan untuk membantu misi pencarian. 

Penemuan mayat mangsa itu membolehkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan pada jam 3.55 petang.

Mengulas mengenai teknik yang digunakan Bomba, ternyata teknik ini mampu beroleh kejayaan sekaligus membolehkan mayat mangsa tidak hanyut di Batang Rajang.

"Nyata teknik ini (memasang jaring) berkesan dan berjaya membantu mempermudahkan operasi mencari mangsa,” katanya.

Selepas dua hari SAR dilakukan dalam usaha mencari mangsa gagal dan pemasangan jaring sepanjang 30 kaki merentangi Sungai Song berhampiran muara Batang Rajang telah berjaya membawa kepada penemuan mangsa. 

Turut sama terlibat pasukan polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS), RELA serta penduduk kampung yang merangkumi lebih kurang 50 orang yang menggunakan 14 bot.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.