16
Isn, Jul

Dadah Bernilai RM28,080 Dan 2 Pemuda Berjaya Diberkas Polis

Sarawak
Typography

KUCHING - Sejumlah 156.33 gram dadah yang dianggarkan bernilai RM28,080 dan dua orang pemuda telah berjaya diberkas dalam satu serbuan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching di hadapan Dewan Komuniti Kenyalang Park Sabtu lalu. 

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ng Ah Lek berkata kedua-dua suspek yang berusia 27 dan 29 tahun itu turut didapati positif dadah methamphetamine selepas ujian saringan awal urin dilakukan ke atas mereka. 

“Pada 12 Mei sekitar jam 10.30 malam, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching telah melakukan serbuan di hadapan Dewan Komuniti Kenyalang Park dan menahan dua suspek yang dalam keadaan mencurigakan. 

“Kedua-dua suspek kemudiannya ditahan dan hasil pemeriksaan telah menemui satu plastik hitam di dalamnya yang mengandungi tiga plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam berkata, 

Menurut Ng lagi, suspek yang berusia 29 tahun beralamat di Taman Mabel, Kuching merupakan seorang penganggur dan mempunyai rekod jenayah lampau.

Manakala, seorang lagi suspek juga penganggur berasal dari Taman Satria Jaya BDC tidak mempunyai rekod jenayah lampau. 

“Kami merampas dadah jenis methamphetamine yang dianggarkan seberat 156.33 gram bernilai RM28,080,” tambahnya. 

Beliau memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 15 kali dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama. 

Menurutnya, kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 20 Mei ini untuk siasatan lanjut. 

 

“PDRM akan meneruskan tindakan drastik bagi membanteras aktiviti dadah dan jenayah-jenayah lain.

“Kerjasama daripada masyarakat adalah diperlukan bagi membantu PDRM membanteras kegiatan jenayah,” ujarnya.