25
Sel, Sep

E-Cemetery Mudahkan Carian Lokasi Pusara Di Tanah Perkuburan Islam Samariang

Sarawak
Typography

KUCHING - Sejajar dengan inisiatif dasar ekonomi digital dan memudahkan orang ramai mencari lokasi pusara di Tanah Perkuburan Islam Samariang, Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) telah melancarkan web e-cemetery di sini, semalam.

Perasmian web tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Openg di perkarangan Masjid Jamek Negeri di sini.

Pengurus Besar LAKMNS Mohamad Sabry Othman berkata, laman web ini boleh digunakan dengan melayari laman web sesawang e-cemetery.sarawak.com.my. 

Fungsi laman web ini ialah untuk memudahkan pencarian lokasi pusara jenazah yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang di mana pengguna hanya menaip nama atau nombor kad pengenalan si mati. 

“Tanah perkuburan yang seluas 62 ekar ini menempatkan sebanyak 15,222 pusara dan jumlah ini dijangka akan terus meningkat dari semasa ke semasa.

“Diharapkan, web ini akan dapat membantu masyarakat Islam mencari lokasi pusara ahli keluarga mereka yang ditempatkan di tanah perkuburan ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Perasmian Web e-Cemetery dan Pengagihan Bubur Masja-Sa di perkarangan Masjid Jamek Negeri di sini.

 

Web tersebut dibangunkan oleh LAKMNS dengan kerjasama Sarawak Information System Sdn Bhd (SAINS).