23
Sel, Okt

PRS Senadin Mahu Masing Meletak Jawatan

Sarawak
Typography

MIRI - Ahli Jawatanakuasa Parti Rakyat Sarawak (PRS) Bahagian Senadin yang bermesyuarat pada 15 Mei lalu mahu Presiden Tan Sri James Jemut Masing meletak jawatan di atas kekalahan memalukan parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU14) lalu.

Pengerusi PRS Senadin Richard Will Uban berkata beliau (Masing) perlu meletakkan jawatan sebagai Presiden PRS berikutan 'kesilapan' yang dilakukannya ketika menangani krisis dalaman parti yang melanda sehingga menyebabkan PRS hilang 3 kerusi. 

"Sebagai ahli parti di peringkat akar umbi, kami mahu Masing meletak jawatan dan mengakui 'kesilapan' beliau agar kepercayaan ahli parti tidak pudar," katanya.

Pada PRU14, PRS hilang tiga daripada enam kerusi yang ditandinginya iaitu Parlimen Julau (Joseph Salang), Selangau (Rita Sarimah Patrick Insol) dan Lubok Antu (Robert Pasang Alam), tetapi masih mengekalkan kerusi Parlimen Sri Aman, Kanowit dan Hulu Rajang.

Richard turut berkata, bukan hanya PRS Senadin yang hilang kepercayaan kepada Masing, sebaliknya beliau percaya PRS di bahagian lain turut melahirkan perasaan yang sama di atas apa yang berlaku.

Sementara itu, bekas Ahli Majlis Tertinggi PRS Edward Kurik percaya pemecatan kelima-lima ahli parti itu oleh Masing menjelang PRU14 dilihat sebagai punca kepada kekalahan terbesar PRS dalam pilihan raya sekaligus mencatat keputusan terburuk dalam pilihan raya di Sarawak.

 

Lima ahli parti yang dipecat Masing ialah Timbalan Presiden PRS Datuk Joseph Entulu Belaun, Datuk William Nyalau Badak dan Nyemah Sabot, Edward Kurik dan Adriana Chumang.

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.