17
Jum, Ogs

Dahulukan Masalah Rakyat Berbanding Isu Sensitif

Sarawak
Typography

MIRI - Ahli Parlimen Miri Dr Michael Teo digesa untuk memberikan tumpuan kepada masalah yang dihadapi rakyat dan bukannya isu-isu berkaitan dengan sensitiviti penduduk di negeri ini seperti isu agama, ujar ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zulhaidah Suboh.

Sebagai Ahli Parlimen yang menang dalam pilihan raya dan dipilih rakyat, beliau (Michael Teo) harus mengutamakan masalah rakyat dengan menumpukan pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PH) khususnya manifesto 100 hari yang dijanjikan berbanding memansuhkan status keagamaan dalam kad pengenalan.

"Pada saya isu berkaitan status agama dalam kad pengenalan tidak wajar diungkit melainkan pihak terbabit mempunyai motif atau agenda tersembunyi.

“Saya sendiri tidak bersetuju dengan usul itu. Ini tidak logik dan rasional kerana jika diterima (dilaksanakan) maka kita kehilangan identiti sebagai penganut sesuatu agama dan kehilangan hakhak sebagai penduduk asli negeri ini,” katanya kepada akhbar tempatan Utusan Borneo.

Gesaan ini dibuat dengan merujuk kepada kenyataan Dr Michael Teo yang disiarkan di dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada 18 Mei lalu mengenai langkah ke arah memansuhkan status keagamaan di dalam kad pengenalan.