22
Isn, Okt

Perayaan Gawai Dayak Dan Aidilfitri Beri Rezeki Berganda Kepada Pengusaha Kek Lapis Sarawak

Sarawak
Typography

KOTA SAMARAHAN - Hari Gawai dan Aidilfitri yang bakal disambut selang dua minggu memberikan rezeki berganda kepada pengusaha kek lapis Sarawak, antara juadah ‘wajib’ dihidang pada sambutan kedua-dua perayaan tersebut.

Antaranya, Pemilik MentegaKeju Cake House Adhar Brahim berkata kebetulan Hari Gawai dan Hari Raya Aidilfitri bakal disambut hampir serentak tahun ini dan berdasarkan pengalaman lalu, beliau menyasarkan jumlah jualan kek lapis tahun ini ialah 2,000 loyang atau kira-kira RM200,000.

Katanya, kedainya menawarkan 20 jenis kek lapis Sarawak ‘premium’ yang dihasilkan menggunakan bahan bermutu tinggi serta resipi tersendiri dan tempahan bermula sejak pertengahan April lepas untuk sambutan Hari Gawai, manakala tempahan bagi Aidilfitri mula dibuka awal bulan ini.

Bercakap kepada BERNAMA, Adhar atau dikenali ‘ Abang Keju’ dalam kalangan pelanggan berkata kedainya sudah terima 500 tempahan untuk Hari Gawai dan menjangkakan kira-kira 1,500 lagi tempahan bakal diterima menjelang tarikh akhir pesanan minggu depan (23 Mei).

“MentegaKeju menjual kek lapis Sarawak premium kerana menggunakan mentega tulen bukannya marjerin, bahan asas untuk sebahagian lapis juga menggunakan keju. Antara ‘hot sales’ MentegaKeju ialah Kek Lapis Azura, Kek Lapis Abang Keju, Kek Lapis Fattzura, Kek Lapis Tuty Fruity, Kek Lapis Masam Manis dan Kek Lapis Cadbury (Lapis India),” kata lelaki berusia 30 tahun itu.

Adhar berkata daripada enam jenis kek lapis itu pula paling mendapat permintaan ialah Kek Lapis Azura yang menggunakan bahan seperti biskut Oreo, coklat Cadbury dan keju dan Kek Lapis Abang Keju dihasilkan menggunakan keju parmesan dan coklat sebagai bahan utama,

Abang Keju yang menjalankan perniagaan bersama isterinya Siti Nurazura Seri, 30, dibantu lima kakitangan telah melantik 22 ejen di Sarawak dan Semenanjung Malaysia bagi melancarkan urusan tempahan dan penghantaran selain menggunakan medium media sosial seperti Facebook dan Instagram untuk promosi.

“Saya jual kek lapis mengikut tiga jenis saiz iaitu satu loyang, separuh loyang atau satu loyang dipotong enam. Satu loyang berat lebih dua kilogram manakala satu loaf berat sekitar 250300gram. Harga seloyang sekitar RM120-RM160, separuh loyang RM65-RM85 manakala harga loaf bermula RM21-RM28,” katanya yang mula menjual kek lapis sejak 2010.

Melihat kepada hasil lumayan yang diperolehinya ketika ini, keputusan berani Adhar untuk berhenti ketika memiliki pendapatan tetap sebagai penjawat awam pada 2016 nyata tepat apabila perniagaan yang dijalankan sepenuh masa mula membuahkan hasil lumayan.

“Saya berkhidmat sebagai penjawat awam sejak 2009 sebelum ambil keputusan berhenti pada 2016 untuk jalankan perniagaan sepenuh masa.

“Saya mula jual kek lapis secara sambilan bermula 2010, pendapatan ketika itu kira-kira RM6,000, ketika saya berhenti kerja (2016) jualan kira-kira RM80,000 manakala tahun lepas (2017) kira-kira RM100,000,” kata lelaki berasal dari Kampung Pinang, Samarahan itu. -Bernama-

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.