14
Jum, Dis

Kerja Menggali Kabel Bawah Tanah Punca Gangguan Bekalan Elektrik Di Kapit, Samarahan Dan Kuching

Sarawak
Typography

KUCHING - Sarawak Energy Berhad (SEB) mengesahkan kerja-kerja penggalian yang dilakukan kontraktor di tiga lokasi berasingan telah mengakibatkan kerosakan kabel bawah tanah, baru-baru ini.

Dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan pihak SEB semalam, akibat daripada tindakan itu menyebabkan gangguan bekalan elektrik berlaku di Kapit, Samarahan dan Kuching, dan ini sekaligus telah menjejaskan ribuan isi rumah dan perniagaan.

Ketua Pegawai Operasi Syarikat SESCO Berhad (SESCO) Lau Kim Swee mengingatkan pihak kontraktor untuk menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan berkenaan kabel bawah tanah tersebut sebelum menjalankan kerja menggali bagi mengelakkan sebarang kerosakan.

“Keselamatan adalah keutamaan kami kerana kami mahu semua dalam keadaan yang selamat.

“Sila hubungi SEB untuk menentukan kawasan tersebut mempunyai laluan kabel atau tidak sebelum meneruskan kerja terlebih dahulu, dan berhati-hati sewaktu menjalankan kerja penggalian,” katanya.

Lau turut meminta kontraktor untuk tidak menganggar sendiri lokasi atau kedalaman kabel bawah tanah seperti yang telah dilakukan sebelum ini, sebaliknya menghubungi pihak SEB untuk pertanyaan terperinci.

“Jangan menganggar sendiri lokasi atau kedalaman kabel bawah tanah, sentiasa periksa dahulu laluan kabel dengan pihak kami.

“Langkah berjaga-jaga ini akan memastikan bahawa semua dalam keadaan selamat selain mengelakkan daripada berlakunya kerosakan kabel dan gangguan bekalan elektrik,” tambahnya lanjut.

Kecuaian yang dilakukan pihak kontraktor yang mengakibatkan kerosakan kabel menyebabkan SEB telah mengalami kerugian yang amat besar.

“Sebanyak 134 kes kabel rosak akibat kerja penggalian oleh pihak kontraktor telah direkodkan sejak 2016, menyebabkan kami kerugian lebih RM1 juta.

“SEB sangat prihatin terhadap kejadian berulang seperti ini, walaupun sudah diingatkan kepada kontraktor untuk berhati-hati sebelum menjalankan sebarang kerja,” katanya semalam.

Lau berkata, sekiranya pihak kontraktor mengikuti prosedur yang telah diberikan sudah tentu insiden sedemikian dapat dielakkan.

Kakitangan SEB telah melawat tapak pembinaan untuk menasihati kontraktor dan juga mengeluarkan beberapa notis dan peringatan sebagai sebahagian daripada langkah pencegahan.

Dalam insiden yang berlaku di Kapit pada 1 Mei lalu, lebih 5,500 pelanggan terputus bekalan elektrik apabila kabel bawah tanah berkeupayaan 33kV rosak atas kesalahan yang sama.

Kabel tersebut rosak teruk dan mengambil masa untuk dipulihkan seperti sedia kala.

Pada 3 Mei lalu, kejadian serupa turut berlaku di Entinggan, Samarahan apabila kabel bawah tanah 33kV rosak akibat kerja penggalian.

“Pihak kami mengambil masa selama empat jam untuk membaiki kabel yang rosak tersebut sebelum bekalan kuasa pulih semula,” kata Lau.

Kes yang paling baru berlaku pada 14 Mei lepas apabila kerja penggalian di tapak pembinaan Bulatan Kipali di Kuching merosakkan kabel bawah tanah 11kV dan menjejaskan pelanggannya di beberapa bahagian dalam kawasan Petra Jaya.

Walaupun masalah itu diperbaiki dengan cepat, kerosakan pada kabel menyebabkan perjalanan kuasa lain pada hari berikutnya terjejas di bahagian Semarak, SMK Petra Jaya, Taman Sri Wangi, Flat Sri Wangi dan Taman Hijrah.

Kontraktor boleh menghubungi pasukan teknikal SEB di 1300-88-3111 atau e-mel di Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. untuk mendapatkan pengesahan atau pertanyaan sebelum menjalankan sebarang kerja.

 

 

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.