18
Ahd, Nov

KEMALANGAN MAUT BABITKAN ANGGOTA POLIS DI SARATOK

Sarawak
Typography

SARATOK – Seorang anggota JPJKK Ibu Pejabat Daerah Saratok maut manakala seorang lagi cedera parah selepas kereta yang dinaiki mereka dalam perjalanan ke Sungai Ruan terlibat dalam kemalangan di sini, malam tadi.

Mangsa yang dikenali Koperal Jumali bin Awang Sah meninggal di tempat kejadian manakala Koperal Jali bin Asan cedera parah.

Akibat daripada kejadian itu, Jumali yang merupakan penumpang telah tercampak keluar dari kenderaan dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala Jali yang merupakan pemandu mengalami cedera parah dengan patah tulang rusuk dan tersepit di bahagian pemandu.

Mereka dalam perjalanan mengiringi Datuk Amar Haji Mohamad Asfia, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak dan dipercayai kereta Nissan Navara yang dinaiki hilang kawalan lalu terbabas ke dalam kawasan parit laluan bertentangan arah Simpang Batu 4, Jalan Roban Lama, Saratok.

Sewaktu kejadian, keadaan jalan basah dan licin akibat hujan dan keadaan jalan gelap menyukarkan pemanduan.

Kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Saratok bagi tujuan bedah siasat dan rawatan lanjut.