18
Ahd, Nov

RAKYAT SARAWAK TIDAK PERLU BAYAR GST KE ATAS PERKHIDMATAN KERAJAAN NEGERI DAN KERAJAAN TEMPATAN

Sarawak
Typography

SIBU - Rakyat negeri ini boleh menarik nafas lega sekarang kerana tidak perlu membayar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ke atas semua perkhidmatan majlis perbandaran dan kerajaan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mengumumkan perkara ini semasa menyempurnakan Majlis Pemansuhan Tol Jambatan Lanang di sini, semalam.

Adenan berkata, kerajaan negeri sebaliknya akan membantu membayar GST bagi perkhidmatan majlis perbandaran dan kerajaan.

Dengan langkah itu, katanya negeri ini adalah yang keempat di negara ini selepas Johor, Pulau Pinang dan Terengganu kerana kerajaan mereka juga tidak melaksana GST bagi perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan jabatan kerajaan.

“Pelaksanaan GST menyebabkan harga barang naik di luar kawalan saya. GST ini diperkenal oleh kerajaan persekutuan dan bukan kerajaan negeri,” katanya berucap di hadapan 10,000 hadirin yang hadir pada majlis tersebut.

Hadir sama ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pembangunan Insfrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong, Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun, Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Datuk Peter Nansian Ngusie, Pengerusi Syarikat Shin Yang Tan Sri Datuk Ling Chiong Ho, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapa’ee serta para tetamu jemputan lain.

Bagaimanapun, Adenan memberitahu bahawa kerajaan negeri akan cuba mencari jalan untuk mengurangkan beban ditanggung rakyat amnya, berhadapan dengan GST.

Jelasnya, antara usaha dijalankan termasuk memansuh kutipan tol di jambatan di negeri ini membabitkan Jambatan ASEAN, menurunkan caj feri di Long Lama dan Marudi dengan RM1 daripada RM6, menurunkan tarif elektrik bagi pengguna kediaman dan komersial.

Di Jambatan Lanang ini, beliau berkata pemiliknya, Tan Sri Ling Cheong Ho yang merupakan pengerusi eksekutif Woodville Development Sdn Bhd dan Syarikat Shin Yang bukan sahaja bersetuju untuk memansuhkan kutipan tol tetapi bersetuju menderma kuarters kakitangan yang bekerja di tol Jambatan Lanang untuk mendirikan Klinik 1Malaysia.

“Bermula jam 12 tengah hari ini (semalam), pintu akan dibuka. Tiada halangan lagi. Anda boleh pergi sesuka hati anda dengan tidak perlu membayar apa-apa. Ia akan menjadi sifar tol mulai hari ini (semalam),” katanya.

Sambil membaca surat jawapan daripada Ling yang diutuskan kepadanya bagi permohonan untuk memansuhkan tol, Adenan berkata, Ling segera memberi maklum balas dengan memansuhkan kutipan tol kerana rasa cintanya kepada Sarawak dan tanda sokongan kepadanya.

“Ini tiada kaitan dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP). Tidak ada menyebut DAP dalam surat ini. Kami tidak mahu orang DAP mendapatkan kredit serta terlibat dalam usaha pemansuhan tol ini,” tegasnya.

Bercakap mengenai Jambatan Igan iaitu kira-kira 20 kilometer dari Jambatan Lanang, beliau berkata pemiliknya KTS Group of Companies yang tidak mengenakan kutipan tol sejak jambatan itu siap pada 2001 turut memberi jaminan bahawa ia bebas tol pada masa akan datang.

Pada majlis itu juga, Adenan turut mengumumkan beberapa peruntukan untuk kawasan bandar ini.

Ia terdiri daripada RM1 juta untuk menaik taraf Taman Harmoni Food Court, RM1 juta untuk menaik taraf Dataran Tun Haji Bujang, RM5.7 juta untuk menaik taraf Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce/Lada, RM700,000 untuk menaik taraf sistem perparitan di Kampung Bahagia Jaya, Teku, RM920,000 untuk menaik taraf sistem perparitan di Kampung Jeriah dan RM520,000 untuk menaik taraf sistem perparitan di Kampung Sentosa.

Justeru, dengan pemberian peruntukan itu, beliau mengarahkan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Datuk Tiong Thai King mempercepatkan pelaksanaannya.

“Jangan tunggu lagi, buat sekarang. Jangan tunggu lama-lama. Saya sudah lulus peruntukan ini dan akan disalurkan ke MPS. Ini kerana MPS akan melaksanakan semua projek tersebut,” tambahnya.

Sumber : Utusan Borneo