18
Ahd, Nov

MAHKAMAH TINGGI TOLAK PERMOHONAN DR MICHAEL TEO

Sarawak
Typography

MIRI - Mahkamah Tinggi menolak permohonan dikemukakan Ahli Parlimen Miri, Dr Michael Teo berhubung isu meroboh lot parkir kenderaan di Jalan Sri Dagang, Pusat Komersil Miri Waterfront.

Keputusan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mairin Idang setelah membuat semakan kehakiman berhubung isu itu berlarutan hampir 10 bulan.

Dalam keputusannya, beliau memberitahu tidak terdapat sebarang asas dalam permohonan dikemukakan Dr Teo yang juga Ketua Cabang PKR Miri.

Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan plaintif membayar kos berjumlah RM15,000 kepada responden pertama hingga empat terdiri Majlis Bandaraya Miri (MBM), Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Unit Perancangan Negeri dan Kerajaan Sarawak.

Manakala RM15,000 lagi dibayar kepada pemaju, Pantai Bayu Indah (PBI) selaku responden kelima. Keputusan itu dibuat menerusi sidang video di sini semalam memandangkan peguam bela, See Chee How mewakili Dr Teo berada di Kuching.

Dalam kes itu, Dr Teo bersama lapan yang lain memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mendapatkan perintah membatalkan keputusan MBM selaku responden pertama, Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (responden kedua), Unit Perancangan Negeri (responden ketiga) dan Kerajaan Sarawak (responden keempat) meroboh lot parkir kenderaan berhadapan premis plaintif serta kawasan perniagaan Jalan Sri Dagang, Pusat Komersil Miri Waterfront di sini.

Dalam kes itu, pemaju Pantai Bayu Indah (PBI) selaku responden kelima.

Sumber : Utusan Borneo