21
Kha, Feb

Calon Wanita PBB Serah Kepada Adenan

Sarawak
Typography

KUCHING: Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumi-putera Bersatu (PBB) menyerahkan kepada pucuk kepimpinan sama ada meletakkan calon wanita baharu atau sebaliknya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ketua Wanita PBB Dato Sri Empiang Jabu berkata, ini kerana dari segi pencalonan untuk wanita ia bergantung kepada keputusan pemimpin tertinggi PBB untuk menentukan.

“Kami tidak menyatakan bahawa kami mahu ada calon wanita (baharu) pada Pilihan Raya Negeri kerana kepimpinan tertinggi parti kitalah yang akan mempertimbangkan siapa calon nanti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi Wanita PBB di ibu pejabat PBB di sini, semalam.

Jelasnya pergerakan wanita sehingga kini telah bergiat aktif dengan turun padang sebagai persiapan menghadapi pilihan raya yang dijangka diadakan awal tahun depan.

Kata beliau pihaknya cuba mengenal pasti pengundi baharu yang belum mendaftar sebagai pengundi selain mengenal pasti tempat tinggal pengundi dengan jumlah ahli sehingga kini lebih daripada 200,000 ahli.

Mengulas mengenai mesyuarat itu semalam, Empiang berkata ia adalah rutin parti dengan mengadakan mesyuarat sekali dalam setiap tiga atau empat bulan.

“Ia mengenai pentadbiran parti selain aktiviti yang dilakukan oleh pergerakan wanita di kawasan masing-masing serta banyak lagi dibincangkan untuk persediaan pilihan raya.

“Pada mesyuarat, setiap daripada mereka menjelaskan apa yang telah dilakukan di kawasan dan paling utama tugas wanita untuk turun padang bagi bertemu serta berhubung dengan rakyat di peringkat akar umbi,” tegasnya.

Menurut Empiang, mesyuarat yang diadakan mengambil masa lama memandangkan banyak isu dan masalah yang berbeza mengikut konstituensi yang diketengahkan.

Sementara itu turut diadakan semalam, Mesyuarat Wanita Barisan Nasional (BN) di tempat yang sama yang dipengerusikan Timbalan Ketua Wanita PBB Datuk Fatimah Abdullah, mewakili Empiang.

Fatimah yang ditemui selepas itu berkata, meskipun PRN belum ditetapkan tarikhnya namun Wanita BN sudah bersedia khasnya melalui akitiviti yang dijalankan di konstituensi masing-masing dengan kerjasama parti komponen BN lain serta agensi kerajaan.

“Ia bertujuan mendekatkan diri dengan rakyat di kawasan berkaitan dengan wakil rakyat sama ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mahupun Ahli Parlimen dengan memastikan BN menang besar.

“Ia sekali gus menunjukkan sokongan kepada Ketua Menteri serta polisi kerajaan yang telah dilaksanakan sehingga kini,” katanya.

Antara wakil wanita daripada parti komponen BN yang hadir ialah Setiasaha Wanita PBB merangkap Ahli Parlimen Sadong Jaya Nancy Shukri, Timbalan Ketua Wanita Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Theresa Udah, Naib Ketua Wanita Parti Rakyat Sarawak (PRS) Angelina Umis dan Ketua Wanita Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datin Jennifer Chee serta ahli-ahli lain. -UB-

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.