21
Kha, Feb

Kerajaan Negeri Sarawak Iktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu

Sarawak
Typography

KUCHING: Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) telah mendapat pengiktirafan daripada kerajaan negeri sebagai kelayakan untuk kemasukan ke dalam perkhidmatan awam negeri dan universiti awam negeri, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Menyatakan perkara itu, Senator Datuk Dr Sim Kui Hian menjelaskan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem telah memberi kelulusan untuk mengiktiraf sijil peperiksaan standard bagi sekolah menengah Cina itu yang juga setaraf dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Semasa mesyuarat beberapa hari lepas, Ketua Menteri telah memberitahu kami bahawa memandangkan kerajaan persekutuan begitu lambat membuat keputusan maka kerajaan negeri akan mengiktiraf UEC terlebih dahulu,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di sini, semalam.

Turut hadir Presiden Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) Malaysia Datuk Vincent Lau dan Naib Pengerusi Persatuan Lembaga Pengurusan Sekolah Menengah Persendirian Cina Bersatu Sarawak Richard Wee.

Menurut Dr Sim, syarat yang diperlukan untuk menyertai perkhidmatan awam di negeri ini adalah kredit Bahasa Melayu dalam keputusan UEC pemohon selain menggunakan skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Mereka tidak boleh memilih skim pencen buat masa sekarang kerana ini adalah bidang kuasa kerajaan persekutuan.

“Jika kita menunggu kelulusan untuk perkara ini, maka ia akan memakan masa bertahun-tahun sebelum kerajaan persekutuan meluluskan pengiktirafan sijil UEC,” katanya.

Mengenai kemasukan ke UNIMAS, beliau menjelaskan bahawa pengurusan universiti awam itu bersetuju untuk memperuntukkan kuota bagi warga Sarawak yang memegang UEC untuk belajar di situ.

“Ini adalah kali pertama bagi universiti awam di negara ini mengiktiraf UEC,” katanya.

Malah, katanya semua institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) seperti Swinburne University of Technology Sarawak, Curtin University Sarawak dan Universiti Kolej Teknologi Sarawak (UCTS) juga telah mengiktiraf UEC, tidak seperti IPTS milik kerajaan negeri di Semenanjung Malaysia.

Selain itu, beliau berkata sijil itu juga diterima untuk kemasukan ke kebanyakan universiti di seluruh dunia termasuk Victoria University di Melbourne, Australia dan National University, Singapura.

Dr Sim turut menyatakan bahawa dengan pengiktirafan yang diberikan oleh Ketua Menteri, ia sekarang bergantung kepada pasukan teknikal Dong Zong untuk menyusuli perkara teknikal tentang bagaimana untuk menilai keputusan UEC bagi pelajar yang hendak memasuki UNIMAS.

“Mereka akan membincangkan butiran bagi memastikan keputusan itu mematuhi syarat kemasukan universiti dan kita harap mereka dapat melengkapkan ini secepat mungkin supaya pemegang UEC dapat memohon untuk memasuki UNIMAS bermula tahun depan,” katanya.

Beliau menambah, Adenan yang juga Pengerusi Yayasan Sarawak telah bersetuju agar Yayasan Sarawak menyediakan biasiswa atau pinjaman pendidikan kepada pemegang UEC.

“Kami sangat berterima kasih kerana Dong Zong dan Persatuan Lembaga Pengurusan Sekolah Menengah Persendirian Cina Bersatu Sarawak telah bekerja rapat untuk mencapai mercu tanda penting ini dan kita harap ini adalah permulaan bagi autonomi pendidikan di Sarawak,” katanya.

Dr Sim juga mengucapkan tahniah kepada Lau atas pelantikannya baru-baru ini sebagai Presiden Dong Zong dan menyuarakan kebanggaannya kerana Sarawak merintis jalan dalam pendidikan Cina.

Sementara, Lau menyuarakan harapan agar dengan pengiktirafan kerajaan negeri kepada UEC, ia juga akan mendorong kerajaan persekutuan berbuat demikian.

“Kami sangat gembira kerana Ketua Menteri memutuskan untuk mengiktiraf UEC dan ini adalah satu lagi maklum balas beliau yang sangat positif terhadap pendidikan Cina.

“Dengan keputusan yang sangat jelas oleh kerajaan negeri, kami berharap kerajaan persekutuan juga akan meneliti perkara ini secara positif dan mengiktiraf UEC di seluruh negara,” katanya.

Lau yang juga pengerusi Persatuan Lembaga Pengurusan Sekolah Menengah Persendirian Cina Bersatu Sarawak percaya jika kerajaan persekutuan mengiktiraf UEC, ia bukan sahaja menguntungkan pelajar yang belajar di sekolah persendirian Cina tetapi juga memberi manfaat kepada negara secara keseluruhannya.

“Sekolah persendirian Cina telah menghasilkan ramai pelajar cemerlang dan berkualiti dan dengan pengiktirafan UEC, saya rasa ini akan membantu menghasilkan lebih ramai modal insan berbakat di negara ini yang amat diperlukan oleh Malaysia sebagai sebuah negara membangun,” katanya. -UB-

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.