18
Ahd, Nov

77 Kayu Balak Bernilai RM153,000 Berjaya Dirampas

Sarawak
Typography

JULAU: Kegiatan pembalakan haram terus dibanteras dengan sebuah lagi kawasan yang disyaki melakukan pembalakan haram di sini diserbu dan kira-kira 77 kayu balak bernilai mencecah RM153,000 dirampas.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 5 ACP Kalai Chelvan Nadarajan berkata serbuan tersebut dilakukan di kawasan Ulu Klias, di sini sekitar jam 12 tengah hari semalam.

Menurutnya, dalam serbuan tersebut, tiada tangkapan dilakukan kerana tiada pekerja dan sebuah jentera berat dianggarkan bernilai RM250,000 disita.

“Hanya terdapat kayu balak jenis belian dianggarkan bernilai mencecah RM153,000 yang dipercayai diperolehi secara haram,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini semalam.

Justeru, kesemua kayu balak tersebut dirampas dan diserahkan kepada pihak Jabatan Hutan Sibu untuk tindakan selanjutnya.

Operasi tersebut disertai dua anggota Polis Marin Wilayah 5 Sarikei, tiga anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sarikei dan dibantu tiga Pegawai Jabatan Hutan Sarikei.

Laporan berhubung rampasan tersebut telah dibuat dan kes disiasat di bawah Ordinan Perhutanan.