18
Ahd, Nov

Rakyat Sarawak Masih Memerlukan Pemimpin Berwibawa Teruskan Pembangunan

Sarawak
Typography

BETONG: Rakyat masih memerlukan pemimpin yang berwibawa dan komited untuk membawa pembangunan berterusan.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Barisan Nasional (BN) terus relevan sebagai parti yang membawa pembangunan dan kemakmuran di negeri ini.

“Kita melihat senario politik di sini bahawa BN memiliki kekuatan dan perancangan menyeluruh dengan pembangunan  dirancang begitu tersusun, justeru tiada sebab kita menolak kepimpinan sedia ada.

“Dasar politik dan kepimpinan Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang yang mewakili BN-Layar  meneruskan era pembangunan memastikan sokongan padu rakyat terhadapnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Rakyat masih menagih beliau terus menjadi pemimpin bagi membawa pembangunan demi pembangunan khususnya di kawasan Layar malah keseluruhan kawasan Betong.

“Dilihat dari segi pengalaman, beliau berkecimpung dalam arena politik sejak puluhan tahun dan selayaknya mendapat sokongan padu serta diberi kemenangan dengan majoriti tinggi pada PRN yang dijangka diadakan awal tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Majlis Penyerahan Bantuan Kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Rumah Panjang dan Masyarakat Cina Kawasan Betong di sini, Isnin lalu.

Tambahnya, rakyat semakin bijak menilai apabila melihat dan merasai sendiri pembangunan dibawa kerajaan sehingga kini cukup memberi kesenangan dan keselesaan.

“Sentimen dibangkitkan pembangkang tidak cukup memberi keyakinan rakyat terhadap dasar mereka ingin sampaikan kerana semua mereka cuba bawa telah dilaksanakan kerajaan BN.

“Cukuplah jika mereka mendakwa tiada pembangunan kerajaan BN laksanakan namun apakah yang mereka lakukan untuk memenangi rakyat,” katanya. -UB-