18
Ahd, Nov

Kenaikan Harga Rokok, Pengharaman Cecair Vape Demi Kepentingan Kesihatan Awam

Sarawak
Typography

MIRI: Kerajaan negeri menganggap keputusan kerajaan pusat menaikkan cukai tembakau sebanyak 40 peratus berkuat kuasa semalam demi kepentingan kesihatan awam, bukannya berniat menjana lebih banyak pendapatan kerajaan.

Menteri Muda Kesihatan Awam Datuk Dr Jerip Susil berkata dua keputusan berturut-turut oleh Kementerian Kesihatan baru-baru ini, iaitu cukai tinggi dan pengharaman cecair nikotin disedut  melalui rokok elektronik ‘vape’ mencerminkan rasional kerajaan meletakkan kesihatan awam sebagai keutamaan dalam negara.

Beliau berharap orang ramai memahami rasional keputusan itu dan mengambil kira bahawa kerajaan mempunyai kepentingan terhadap kesihatan jantung, bukannya mementingkan keuntungan (pendapatan).

“Ini soal kesihatan (keputusan kerajaan) dan bukan sebaliknya dengan harapan perokok akan mengurangkan atau berhenti merokok,” katanya kepada pemberita di sini semalam, mengenai hasil daripada cukai tembakau di negara ini yang semakin jatuh.

Terdahulu beliau menghadiri Majlis Penyampaian Bantuan Tabung Pendidikan UPP yang disempurnakan oleh Presiden UPP merangkap Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh di pejabat UPP Wilayah Utara di sini, semalam.

Menurut Dr Jerip lagi, bagi memastikan keberkesanan usaha tersebut kerajaan bukan sahaja menaikkan cukai dan harga rokok, malah turut membuka klinik berhenti merokok untuk membantu perokok menghentikan tabiat mereka.

Menurut beliau, larangan terhadap ‘vape’ dikuat kuasa baru-baru ini merupakan pendekatan rasional melindungi orang awam kerana pada masa ini, jumlah nikotin diguna pengguna ‘vape’ tidak terkawal dan boleh menjadi amat berbahaya.

“Buat masa ini, tidak ada had kepada jumlah nikotin yang anda boleh sedut mengguna ‘vape’. Ia terpulang kepada anda, bagaimanapun saya ingin mengingatkan bahawa ia adalah berbahaya,”katanya.

Nikotin dikategorikan sebagai racun Kumpulan C di bawah Akta Racun 1952 dan pembuatan, mengedar serta menjualnya perlu dilesenkan.

Pada 28 Oktober lalu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam  berkata kementeriannya sedang berusaha mendapatkan undang-undang untuk mengawal selia atau melarang ‘vape’ sebelum ia menjadi isu utama.

Namun pada hari berikutnya, Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kabinet telah memutuskan untuk tidak mengharamkan ‘vape’.

Bagaimanapun, Dr Subramaniam mengumumkan minggu ini bahawa Kementerian Kesihatan akan mula merampas produk dengan kandungan nikotin tidak lama lagi.

Katanya kementerian mempunyai kuasa untuk merampas produk dengan kandungan nikotin di bawah Akta Racun 1952 (Semakan 1989) dan Akta Makanan 1983. -UB-