21
Isn, Okt
1 ARTIKEL BARU

Najib Garis Tiga Faktor Untuk BN Hadapi PRU14

Wilayah
Typography
TUMPAT: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tiga faktor iaitu calon yang tepat, jentera yang kuat dan Barisan Nasional (BN) yang padu perlu wujud bagi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya umum ke-14. Najib, yang juga Pengerusi BN, berkata gabungan tiga faktor itu terbukti memberi kemenangan besar kepada BN pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor pada 25 Sept lalu. “Calon yang tepat…(perlu) pilih calon yang kena dengan selera pengundi,” katanya mengenai faktor pertama ketika berucap pada ‘Majlis Pemimpin bersama Rakyat: Sepetang Bersama Perdana Menteri’ di Pusat Khidmat Masyarakat Kampung Geting, Pengkalan Kubor, di sini hari ini. Mengambil contoh pemilihan Mat Razi Mat Ail sebagai calon BN pada pilihan raya kecil DUN Pengkalan Kubor, Najib berkata ia memenuhi selera pengundi setempat kerana Mat Razi antara lain mempunyai keperibadian disenangi ramai selain berpengetahuan agama serta mempunyai pondok tempat beliau mengajar ilmu agama. Najib berkata jentera pilihan raya yang kuat akan menyumbang kepada kejayaan BN atas dasar semua pihak bekerja dalam satu pasukan. Najib seterusnya menjelaskan bahawa perpaduan dalam Umno dan dalam kalangan parti komponen BN yang kukuh tanpa perasaan iri hati menjadi teras kepada semangat untuk bersama-sama memastikan kemenangan BN. Perdana menteri menegaskan formula kemenangan BN di Pengkalan Kubor itu akan dijadikan titik permulaan pembaharuan bagi BN Kelantan untuk menghadapi PRU14. Beliau juga menggesa BN Kelantan bekerja lebih kuat dalam usaha meningkatkan sokongan rakyat kepada BN. Di kesempatan itu, Najib mengumumkan peruntukan sebanyak RM2.5 juta untuk membina sebuah jeti besar dan 10 jeti kecil serta Sekolah Pondok YB Tuan Hj Mat Ail bin Mat Razi juga bakal dinaik taraf dijadikan pondok moden. Pada PRK Pengkalan Kubor bulan lepas, Mat Razi memperoleh majoriti 2,635 undi untuk menewaskan calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail. Turut hadir Mustapa yang juga Pengerusi BN Kelantan, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan dan Mat Razi.