21
Isn, Okt
1 ARTIKEL BARU

Pembangunan PERDA: Lim Guan Eng Main Wayang Lagi

Wilayah
Typography

Tidak menghairankan apabila Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berdolak dalik apabila membabitkan 15 projek pembangunan perumahan oleh PERDA dan JKP Sdn. Bhd. Projek Bandar Perda yang bermula pada 1994 adalah projek pembangunan yang merangkumi aspek hartanah, kediman, hospital, pejabat dan komersial.

Lim Guan Eng telah menghantar surat kepada YAB Timbalan Perdana Menteri pada 23 Oktober 2014 menjelaskan mengapa permohonan PERDA belum diluluskan kerana terdapat beberapa halangan dari segelintir penduduk setinggan dikawasan pembangunan terbabit. Ironinya hanya 3 kawasan yang menghadapi masalah setinggan yang mana majoritinya telah pun berpindah. Hanya kerana itu, 12 lagi projek tidak diluluskan walaupun tidak mengalami sebarang masalah.

Sikap dolak dalik Lim Guan Eng membuktikan Guan Eng lebih berminat bermain politik dari menjalankan tanggungjawabnya sebagai Ketua Menteri. Malah hanya selepas 24 bulan dari tarikh permohonan iaitu pada 4 September 2012, baru kini Guan Eng memberi maklum balas.

Amat menghairankan lagi apabila salinan surat Guan Eng berkaitan isu ini dihantar kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) yang mana langsung tiada kena mengena dengan projek pembangunan PERDA ini. Apa muslihat sebenar Lim Guan Eng?

Jika permasalahan pembangunan untuk rakyat Lim Guan Eng bermain tarik tali, usah menggelarkan diri sebagai seorang Ketua Menteri. Seharusnya pemimpin berkhidmat untuk rakyat sebagaimana yang diamanahkan bukan bermain politik tanpa mengira masa.

Berikut kenyataan media Pegerusi Majlis Tindakan Persekutuan Pulau Pinang, Dato' Zainal Abidin Osman berkenaan isu ini.

Kenyataan Media YBhg Dato' Zainal Abidin Osman Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Pulau Pinang 30 Oktober 2014

Merujuk kepada surat YAB Ketua Menteri Pulau Pinang kepada YAB Timbalan Menteri bertarikh 23 Oktober 2014 menjelaskan kenapa Kerajaan Negeri Pulau Pinang belum meluluskan permohonan Pelan Kebenaran Merancang 15 projek perumahan yang dipohon oleh PERDA dan JKP Sdn Bhd.

Saya mendapat maklum bahawa YAB Ketua Menteri Pulau Pinang telah mengedarkan salinan surat beliau kepada YAB Timbalan Perdana Menteri kepada pihak media semalam.

Kenyataan YAB Ketua Menteri Pulau Pinang mengenai cadangan pembinaan rumah pada harga jualan RM575 ribu di kawasan Seberang Perai merujuk kepada permohonan PERDA untuk pembangunan di Bandar Perda Bukit Mertajam yang dikemukakan permohonannya pada 4 September 2012.

Projek Bandar Perda adalah pembangunan bandar baru yang bermula pada tahun 1994 merangkumi pelbagai aspek dan komponen pembangunan hartanah, kediaman, pejabat, hospital, institusi dan komersial.

Adalah tidak menasabah jika pihak berkuasa negeri memberi fokus kepada permohonan untuk membina 64 unit rumah Kos Sederhana di Bandar Perda tanpa mengambil kira jumlah dan peratusan lebih besar komponen perumahan Kos Rendah dan Kos Sederhana sudah disiapkan dan didiami di situ.

Sekiranya Kerajaan Negeri Pulau Pinang ada masalah mengenai permohonan ini, persoalannya ialah kenapa baru sekarang setelah lebih 24 bulan permohonan dikemukan perkara ini dibangkitkan? Kenapa tiada sebarang maklum balas mengenai permohonan ini dibuat oleh pihak berkuasa negeri kepada PERDA sebelum ini?

Berhubung dengan isu setinggan, dari 15 permohonan yang dikemukan oleh PERDA dan JKP Sdn Bhd hanya 3 (tiga) permohonan Pelan Kebenaran Merancang yang dipohon melibatkan penempatan semula setinggan:

A. 1 projek oleh PERDA di Sungai Batu, Teluk Kumbar dalam Daerah Barat Daya. Jumlah terlibat sebanyak 11 buah rumah di atas tanah yang dibuat pengambilan balik dan 14 buah rumah di tanah berhampiran yang dibeli atau diambil alih pemajuannya oleh PERDA daripada pihak swasta.

B. 2 projek oleh JKP Sdn Bhd:

1) Projek di Sungai Nibong; jumlah setinggan sebanyak 84 buah rumah, 73 setinggan sudah selesai dan berbaki 11 yang masih belum berpindah dan dalam proses penyelesaian.

2) Projek di Bagan Serai, Seberang Jaya melibatkan 231 setinggan. Sejumlah 203 setinggan sudah mencapai penyelesaian dan berbaki hanya 28 dalam proses penyelesaian.

Adalah tidak wajar sekiranya Kerajaan Negeri menggunakan alasan penempatan setinggan yang hampir selesai bagi 3 projek yang dipohon untuk tidak meluluskan 12 permohonan Pelan Kebenaran Merancang lain yang tidak melibatkan isu setinggan.

Projek pembangunan yang dicadangkan oleh PERDA dan JKP Sdn Bhd berkonsepkan pembangunan bercampur dan berkepadatan rendah (low density). PERDA dan JKP Sdn Bhd menawarkan rumah jenis teres, rumah berkembar (semi -D), dan rumah sesebuah, yakni "landed properties", selain rumah berkonsep pangsapuri. Jauh lebih rendah dari kepadatan yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri pada 83 unit per ekar. Adalah tidak wajar menyamakan julat harga bagi rumah "landed" dengan harga rumah konsep pangsapuri dalam pembangunan berkepadatan tinggi.

Dua projek yang dipohon PERDA, iaitu projek pembangunan bercampur di Tok Alang dan di Ara Kuda dalam Daerah Seberang Perai dan satu projek oleh JKP Sdn Bhd di Jalan Permatang Pauh, Seberang Perai Tengah menepati siling harga rumah Mampu Milik yang ditetapkan Kerajaan Negeri dan tidak terlibat dengan penempatan semula setinggan juga tidak diluluskan oleh kerajaan negeri sehingga kini.

Turut menghairankan saya ialah kenapa salinan surat YAB Ketua Menteri Pulau Pinang kepada YAB Timbalan Menteri untuk menjelaskan isu permohonan Pelan Kebenaran Merancang oleh PERDA dan JKP Sdn Bhd dialamatkan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB); dua agensi yang terlibat dalam sektor industri bekalan air dan tidak terlibat dalam sektor perumahan negara. * Salinan surat Ketua Menteri (tidak bertanda tangan) kepada YAB Timbalan Perdana Menteri dilampirkan.

Saya telah memohon kepada YAB Ketua Menteri Pulau Pinang Pengerusi Jawantankuasa Pembangunan Negeri untuk mengadakan perjumpaan dengan beliau tetapi sehingga kini masih belum dapat berjumpa dengan beliau.

Adalah diharapkan YAB Ketua Menteri tidak berdolak dalik dan memberi alasan harga tinggi dan isu penempatan semula setinggan untuk sengaja melengah-lengahkan permohonan Pelan Kebenaran Merancang yang dipohon oleh PERDA dan JKP Sdn. Ketua Menteri seharusnya mengenepikan motif politik tersirat dan meletakkan kepentingan rakyat Pulau Pinang sebagai keutamaan dalam segala urusan.

Terima kasih.