21
Isn, Okt
1 ARTIKEL BARU

Selamat Menyambut Tahun Baru Cina 2016!

Bahasa Melayu
Typography

'MALAYSIA Bumi Bertuah'. Itu merupakan kata-kata yang sering di sebutkan sejak sekian lama dan sememangnya ia merupakan satu ungkapan yang tepat bagi menggambarkan keistimewaan negara ini. Sebuah negara kecil yang terbahagi kepada 13 buah negeri dan 3 Wilayah Persekutuan, hakikatnya Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian, baik dari segi bangsa, adat, agama dan cara hidup.

Apa yang lebih istimewa lagi, negara yang dibangunkan oleh masyarakat berbilang kaum ini menjalani hidup dengan penuh toleransi, dan sifat harmoni antara satu sama lain. Buktinya pada hari ini, seluruh Malaysia sedang bercuti bagi meraikan sambutan Tahun Baru Cina bagi tahun 2016, atau di kenali sebagai Tahun Monyet di dalam Kalendar Lunar (Kalendar Cina).

Tahun Baru Cina

Tahun Baru Cina merupakan perayaan terpenting yang disambut oleh 56 etnik masyarakat Cina di seluruh dunia. Tidak hanya terhad kepada masyarakat Cina di seluruh dunia, malah sambutan ini turut diraikan oleh bangsa Korea, Vietnam, Mongol, dan Miao (Hmong China).

Perayaan ini menandakan permulaan kepada tahun baru, menurut Kalendar Cina yang terbahagi kepada kitaran 12 tahun yang dinamakan bersempena dengan 12 jenis haiwan (tikus, lembu, harimau, arnab, naga, uar, kuda, kambing, monyet, ayam, anjing dan khinzir), atau disebut sebagai 'Shio'.

Tahun Baru Cina telah mula disambut sejak beribu-ribu tahun yang lalu. Menurut sejarah, pada masa dahulu terdapat seekor mahkluk ganas bernama 'Nian' telah membuat kekacauan di Tanah Besar China dan menyebabkan manusia hidup di dalam ketakutan serta kesengsaraan. Pelbagai ikhtiar dilakukan bagi menewaskan makhluk ini, dan akhirnya mereka berjaya mengusir 'Nian' dengan cara melemparkan reben merah ke udara, membakar mercun dan bungan api, siang dan malam.

Justeru, perayaan ini merupakan simbolik kepada titik permulaan di dalam kehidupan dan juga nasib setiap orang yang meraikannya. Sebelum tahun baru bermula, seluruh keluarga akan berhimpun dan saling bekerjasama membersihkan rumah. Segala hutang-piutang juga perlu dilangsaikan kerana mengikut kepercayaan masyarakat Cina, ianya dapat mengelak dari mereka dikelilingi hutang sepanjang tahun baru.

Jamuan 'Makan Besar' merupakan satu kemestian, di mana ia dilakukan pada petang sebelum tahun baru dan disertai oleh seluruh ahli keluarga. Yee Sang, Kuih Bakul dan Limau Mandarin merupakan antara makanan tradisi yang wajib ada di dalam meraikan Tahun Baru Cina ini disamping juadah-juadah yang lain.

Pakaian baru bewarna merah juga merupakan satu kemestian ketika menyambut Tahun Baru Cina ini. Warna merah, atau 'Hong' di dalam bahasa Cina mempunyai sebutan yang mirip dengan 'Ong', yang membawa maksud tuah. Oleh yang demikian, warna merah menjadi satu warna wajib untuk digayakan pada hari perama Tahun Baru Cina supaya mereka dilimpahi dengan tuah, rezeki dan keberkatan di sepanjang tahun.

Tradisi kunjung-mengunjung juga diamalkan ketika meraikan sambutan Tahun Baru Cina ini. Pada kebiasaannya, golongan muda akan mengambil kesempatan untuk mengunjungi golongan yang lebih tua pada hari perayaan ini dan apa yang lebih menarik, mereka akan menerima sampul merah berisi duit, atau disebut sebagai 'Ang Pau', yang melambangkan sebagai nasib yang baik kepada mereka masih belum berkahwin.

Satu lagi keunikan sambutan Tahun Baru Cina adalah mengenai Tarian Singa, yang dilakukan di rumah-rumah, atau premis perniagaan masayarakat Cina. Mengikut kepercayaan, tarian ini akan membawa keberkatan kepada setiap dari mereka di sepanjang tahun. Tarian ini akan diiringi dengan paluan gendang oleh sekumpulan pemuzik, dan akan ditarikan oleh 2 orang penari yang membawa maskot tradisi Tarian Singa.

Jika dahulu tarian ini hanya ditarikan oleh anak-anak muda berbangsa Cina, tapi pada masa kini ianya turut disertai oleh golongan-golongan muda dari pelbagai bangsa seperti Melayu dan India yang begitu mahir menarikan rentak tarian ini. Itulah salah satu keunikan Malaysia!

Pantang Larang Sempena Perayaan Tahun Baharu Cina

1. Orang Cina mempercayai bahawa mereka tidak boleh menyapu rumah pada hari raya pertama kerana menganggap ia boleh membuang segala keuntungan atau 'Ong' yang ada.

2. Orang Cina percaya bahawa mereka akan ditimpa malang jika pinggan mangkuk yang digunakan pada hari sambutan itu telah pecah. Oleh itu mereka akan melakukan kerja rumah dengan penuh berhati-­hati.

3. Tidak boleh menggunakan perkataan yang tidak sopan dan kotor kerana dipercayai akan merosakkan keharmonian sepanjang tahun.

4. Acara makan beramai­-ramai pada malam sebelum Tahun Baharu Cina diadakan kerana dapat memperlihatkan perpaduan dan keakraban sesebuah keluarga.

5. Pada hari ketiga tahun baharu dikenali sebagai "CHE KOU RI". "CHE KOU" bermaksud perselisihan dan pertelingkahan. Pada hari ini orang mudah berlaku perselisihan faham ataupun bergaduh. Oleh itu, kaum cina tidak akan melawat ke rumah saudara­-mara bagi mengelakkan sebarang pertelingkahan yang tidak diinginkan.

Perayaan Chap Goh Mei

Hari kelima belas bagi perayaan Tahun Baru Cina ini, atau dikenali sebagai 'Chap Goh Mei' juga tidak kurang pentingnya. Ia adalah hari terakhir bagi bulan penuh, menandakan penutup bagi perayaan ini.            

Perayaan tersebut jatuh pada malam 15, bulan pertama Kalendar China. ChapGoh Mei juga turut disebt sebagai 'Pesta Lampu', kerana lampu-lampu atau 'Tanglung' akan di nyalakan pada sebelah malam sebagai aktiviti utama pada hari perayaan tersebut.

Menikmati onde-onde dan memasang lampu-lampu merupakan dua perkara utama perayaan ini. Mengapa agaknya lampu-lampu menjadi satu elemen penting pada Hari Cap Goh Mei?

Menurut sejarah pada sekitar tahun 180 sebelum Masihi, ketika pemerintahan Dinasti Han di China. Maharaja pada ketika itu, iaitu maharaja Liu Heng telah berjaya mematahkan gerakan penderhakaan yang berlaku di negara tersebut. Hari tersebut secara kebetulannya jatuh pada hari ke-15 bulan bulan pertama Kalendar Cina.

Sebagai tanda merayakan kejayaan tersebut, Liu Heng memerintahkan lampu-lampu (Tanglung) dipasang di seluruh negara. Beraneka bentuk Tanglung dipasang di tepi-tepi jalan pada hari tersebut, dan adat istiadat itu diamalkan sehingga ke hari ini.

Tanglung biasanya diperbuat dengan kertas yang berwarna-warni, berbentuk seperti gunung, bangunan, orang, bunya, burung dan binatang. Sekarang teknologi moden yang canggih ianya diperbut dari gentian optik, laser, kawalan bunyi dan cahaya juga telah digunakan dalam pembuatan lampu-lampu warna-warni.

Seluruh warga kerja KLXpress mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Cina 2016 kepada seluruh masayarakat Cina di seluruh dunia! Gong Xi Fa Chai!