03
Kha, Dis
0 ARTIKEL BARU

#SwitchOff14 Semakin Mengelirukan. Piket Bakal Dirasmikan Menteri?

Hiburan
Typography

Satu gerakan kononnya dikatakan mewakili penggiat seni tanah air yang bertujuan untuk menuntut kebajikan bagi anak-anak seni kreatif ini semakin mengelirukan penggiat seni. Gerakan ini yang dikenali sebagai Switch Off '14 yang digerakkan oleh Jurey Rosli menuntut 11 perkara yang menurut beliau tidak diambil berat oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Gerakan yang bakal dilancarkan di Kelab Sultan Suleiman ini dikatakan akan dilancarkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia sendiri menimbulkan seribu tanda-tanya kerana pada asasnya gerakan ini bertujuan untuk mendesak pihak kementerian tersebut. Lebih janggal lagi apabila Jurey sendiri setelah berkempen di Facebook dan Twitter beliau menggesa supaya penggiat seni tanah air untuk turut sama berhimpun di hadapan bangunan FINAS pada 11 November kelak menyatakan bahawa gerakan ini bukanlah satu piket ataupun demonstrasi.

Sekiranya benar Menteri KKMM sendiri yang bakal turun ke Kelab Sultan Suleiman untuk melancarkan gerakan ini, mengapa perlu diadakan perhimpunan tersebut di hadapan bangunan FINAS? Dan lebih baik Jurey sendiri selaku pengerusi, presiden dan CEO beberapa persatuan penggiat seni berjumpa empat mata dengan Menteri sendiri untuk berbincang dan mencari jalan penyelesaian bagi kemelut yang kononnya melanda industri kreatif tanah air.

Pelbagai platform persatuan yang dipegang oleh saudara Jurey sudah jelas memberikan beliau peluang untuk membentuk penyelesaian tersebut tanpa perlu mengambil pendekatan demonstrasi dan perhimpunan yang sudah tentunya akan hanya membawa kesan negatif terhadap industri ini.

Antara persoalan yang timbul daripada kalangan penggiat seni ini melalui pemerhatian KLXpress di komen-komen Facebook dan juga Twitter adalah mengapa hanya stesyen televisyen dan kementerian menjadi sasaran Jurey dan tidak melibatkan stesyen televisyen swasta yang tentunya lebih tinggi permintaan penontonnya.

Datuk Freddie Fernandez selaku Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) telah jelas menyatakan bahawa pihak Karyawan sama sekali tidak bersetuju dengan gerakan Switch Off'14 ini dan menjelaskan bahawa gerakan ini tidak memberikan manfaat malah disifatkan sebagai terlalu negatif. Freddie juga kecewa dengan tindakan Jurey selaku pemimpin kepada persatuan seni ini kerana berfikiran terlalu cetek dan tidak dapat diselesaikan dengan cara profesional.

Ada antara tuntuan Jurey juga dilihat sebagai tidak munasabah kerana mempertikaikan pembayaran gaji kru-kru produksi yang tidak berpatutan sedangkan masalah itu perlu diselesaikan menerusi rundingan antara penerbit-penerbit filem dan bukan pihak kerajaan. Yang lebih ironinya, pihak penerbit sendiri yang menjadi penganjur kepada gerakan ini.

Tambah Freddie, pihaknya telah mengambil langkah memperbaiki keadaan tersebut  dengan mengadakan perbincangan dengan Persatuan Penerbit Filem (PFM) dan telah mewujudkan draf Kontrak Standard untuk penggiat industri yang akan berkuatkuasa dalam masa terdekat ini.

Malahan, ada antara tuntutan Switch Off'14 ini boleh diselesaikan dengan mudah melalui persatuan-persatuan yang Jurey sendiri menjadi presiden ataupun pengerusinya.

Sekiranya diteliti tentang gerakan Switch Off'14 ini dengan mengambil kira pihak yang menganjurkannya, tidak dapat dinafikan bahawa kemungkinan untuk adanya 'udang di sebalik batu' adalah tinggi.