23
Sab, Mac
0 ARTIKEL BARU

#PRKTelukIntan : Mah Akan Jadikan Teluk Intan Sebagai Pusat Pertanian Moden

PRK Teluk Intan
Typography
blogger-image--1658373054TELUK INTAN – Teluk Intan akan dijadikan pusat pertanian moden di daerah Hilir Perak, antara janji calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mah Siew Keong dalam mentransformasi ekonomi kawasan Parlimen itu. Mah berkata kedudukan strategik kawasan itu, yang terletak di tengah-tengah kawasan Pasir Salak, Bagan Datoh, Tapah dan Tanjong Malim, memberikan Teluk Intan kelebihan semula jadi yang dapat dimanfaatkan untuk pertanian moden. Beliau turut berjanji untuk terus memajukan kawasan Teluk Intan menjadi sebuah pusat ekonomi di Hilir Perak, memandangkan ia mempunyai potensi besar untuk dibangunkan, selain berusaha menarik lebih banyak pelaburan, khasnya dalam bidang perkilangan dan pembuatan. Usaha ini secara tidak langsung mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan, terutama generasi muda, katanya dalam manifesto yang dilancarkan di sini untuk PRK Teluk Intan. Mah berkata sepanjang enam tahun lepas apabila kerusi Parlimen Teluk Intan dipegang anggota DAP, Teluk Intan telah ketinggalan dalam arus pembangunan, apabila infrastruktur asas seperti jalan raya dan kebersihan telah diabaikan akibat tiada kerjasama antara pihak berkuasa tempatan dan anggota Parlimen Teluk Intan. “Jika saya dipilih, saya bertekad untuk menyambung segala rancangan saya membangunkan Teluk Intan yang terpaksa diketepikan selepas saya tewas dalam pilihan raya umum ke-12 pada 2008,” kata Mah, yang merupakan anggota Parlimen Teluk Intan selama dua penggal – PRU 1999 hingga PRU 2008. Dari segi pembangunan komuniti, Mah berjanji untuk mewujudkan program rumah mampu milik di bawah Program Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) serta bekalan air, pengaliran dan saluran yang lebih mantap. Dari segi pendidikan, calon BN itu berjanji untuk memastikan sebuah universiti dapat diwujudkan di Teluk Intan, selain memperluas pembinaan pusat komuniti di setiap kampung dan taman. Sebelum ini, BN telah mewujudkan Teluk Intan Community College. “Saya juga akan berusaha untuk membina lebih banyak zon Internet WiFi di Teluk Intan terutama untuk generasi muda yang mahir teknologi,” katanya. Dari aspek pembangunan pelancongan, Mah berjanji untuk memastikan Menara Condong Teluk Intan disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan (Unesco) bagi menarik lebih banyak pelancong, terutama pelancong luar negara. Katanya Teluk Intan mempunyai potensi tinggi sebagai pusat pelancongan terutama ekopelancongan memandangkan kawasan itu kaya dengan biodiversiti dan alam semula jadi. Mah berjanji untuk memastikan tebing sungai di Teluk Intan dibangunkan sebagai lokasi tarikan pelancong, sama seperti tempat pelancongan tebing sungai di Melaka dan Kuching, selain memajukan Teluk Intan sebagai pusat makanan, Hilir Perak, memandangkan kawasan itu mempunyai kepelbagaian makanan. Mah berkata manifestonya yang memfokuskan tiga perkara utama iaitu transformasi ekonomi tempatan, pelancongan dan pembangunan komuniti, dibuat setelah dikaji ia mampu dilaksanakan. “Kita memang boleh berjanji di atas kertas untuk bina lapangan terbang atau menara berkembar di sini tetapi adakah itu boleh dilaksanakan. Saya tidak mahu ada janji-janji kosong dalam manifesto saya,” katanya.
Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.