18
Isn, Nov
0 ARTIKEL BARU

Hilang banyak darah

Semasa
Typography
Adnan Ibrahim
Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Kluang: Pemandu lori gagal diselamatkan apabila mengalami kehilangan banyak darah selepas terbabit kemalangan di Kilometer 53 Lebuhraya PLUS arah utara di sini, pagi semalam.

Irwan Kamaruddin, 42, berasal dari Kampung Sri Purnama, Johor Bahru meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini, selepas kenderaan dipandunya terbabit dalam kemalangan pada jam 2.45 pagi semalam.

Ketua Cawangan Trafik dan Ketenteraman Awam Kluang Asistan Superintendan Azmi Suratman berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah treler melanggar belakang sebuah lagi kenderaan sama ketika menaiki bukit di kawasan itu.

Menurutnya, mangsa yang memandu lori di belakang treler terbabit dipercayai tidak sempat mengelak sebelum merempuhnya.

“Mangsa kemudian dikejarkan ke HEBHK bagi mendapatkan rawatan kecemasan, tetapi tidak dapat diselamatkan.

“Irwan disahkan meninggal dunia kerana mengalami pendarahan banyak selepas parah di badan,” katanya.

Menurutnya, pemandu kedua-dua treler tidak cedera.

Katanya, siasatan di lokasi kejadian mendapati kawasan berkenaan gelap kerana tidak mempunyai lampu jalan, manakala laluan terbabit di dalam keadaan kering dan lurus serta mendaki bukit.

“Kejadian akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.